Skip to main content
Kepakaran dan kecemerlangan barisan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus bersinar di pentas penyelidikan dan inovasi.  
 
Terbaru, penyelidik UTeM Ir Dr Mohd Farriz Basar bersama pasukannya telah berjaya memenangi Geran Pembangunan Program Mengarusperdanakan Inovasi Akar Umbi (MaGRIs) 2020 bernilai RM 30 ribu dari Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Keputusan pemilihan dan pengumuman pemenang ini telah dikeluarkan oleh pihak YIM baru-baru ini.
 
Magris 2000 telah disertai lebih 500 projek dari seluruh negara manakala yang disenarai pendek adalah sebanyak 15 projek dan 5 projek sahaja yang dipilih sebagai pemenang untuk menerima hadiah tersebut.
Proses penilaiannya telah berlangsung pada 10 hingga 12 Jun  lalu yang mana sesi penilaian telah dijalankan secara atas talian dengan kumpulan penyelidik membentangkan produk inovasi mereka seterusnya 5 inovasi terbaik telah dinobatkan sebagai pemenang geran MaGRIs 2020.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kejayaan ini sekaligus berjaya melonjakkan nama UTeM terus diiktiraf dan diperakui di pentas penyelidikan dan inovasi dalam negara.
 
Jelasnya, konsep semarak budaya penyelidikan UTeM pada segenap lapisan peringkat di sini sememangnya sentiasa mendorong barisan penyelidik universiti ini untuk terus menyerlahkan kepakaran yang dimiliki menerusi bidang masing-masing.
 
“Dengan penyelidikandan inovasi berterusan sebeginilah akan terus memberikan impak langsung kepada segenap dimensi pembangunan negara kita,” ujarnya lagi.
 
Kumpulan penyelidik ini terdiri daripada 2 orang ahli lagi iaitu penuntut UTeM Izzatie Akmal Zulkarnain yang merupakan pelajar tahun 4 jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik. dan seorang lagi adalah Guru Kanan dari Maktab Rendah Sains MARA Kem Terendak, Nor Hazana Abdul Razik.
 
Menurut Ir Mohd Farriz yang juga merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) UTeM berkata, Kejayaan kumpulan penyelidik ini memenangi geran penyelidikan tersebut adalah menerusi produk yang dikenali sebagai Electrical Engineering Learning Kit for STEM Application (LEKIT).
 
Katanya, inovasi ini mengukuhkan pemahaman tentang konsep asas dalam bidang elektrik dan buku ini boleh dijadikan kit pembelajaran dan bahan rujukan utama kepada pelajar sekolah rendah mahupun menengah.
 
“Ianya juga sesuai untuk pelajar peringkat diploma dan juga ijazah dalam jurusan teknologi dan kejuruteraan kerana projek yang dijelaskan dalamnya merangkumi konsep asas kejuruteraan elektyrik yang dipelajari dalam subjek wajib semasa tahun 1 dan 2 pengajian,” ujarnya lagi.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, dengan hasil inovasi tersebut maka permasalahan seperti pelajar sekolah yang kurang berminat dengan STEM dan tidak faham dengan konsep sains dan fizik serta kesukaran mendapatkan alat bantuan mengajar yang sesuai untuk subjek sains, fizik dan kejuruteraan dapat diatasi dengan bantuan inovasi ini.