Skip to main content
30 June 2020

UTeM Bangunkan ‘Reruai Saringan Covid 19’ Mudahkan Operasi Hospital Melaka

Kepakaran dan hasil inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus diperakui dan memberi impak besar, terbaru pihak UTeM telah berjaya membangunkan ‘Reruai Saringan Covid 19’ yang amat diperlukan bagi kegunaan di Hospital Melaka.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, antara objektif utama Reruai Saringan Covid 19 ini adalah untuk digunakan oleh para doktor untuk menyaring pesakit yg disyaki dijangkiti COVID-19.
 
Jelas beliau, reruai ini dapat mengurangkan beban doktor di samping selamat digunakan kerana ianya dilengkapi dengan penapis ULPA yang dipercayai mempunyai tahap kefisienan tinggi menapis zarah bersize 0.12 micron.
 
Katanya, reruai ini dilengkapi dengan mikrofon tanpa wayar untuk komunikasi antara doktor dan pesakit serta turut dilengkapi dengan lampu dan penghawa dingin untuk keselesaan doktor menjalankan tugas.
 
Dr Raha berkata, penyelidikan dan inovasi ini dibangunkan pada asas kerjasama penyelidikan antara UTeM dan Hospital Melaka dalam bidang tele-medicine dan tele-health.
 
“Projek ini dibangunkan oleh UTeM dengan kerjasama rakan industri, AFA Technologies Sdn. Bhd. dan ALPRO Engineering Sdn. Bhd. dengan nasihat daripada Hospital Melaka dan pembangunan reruai ini telah mengambil masa selama 3 bulan,”ujarnya lagi.
 
Reruai Saringan Covid 19 ini telah diserah secara rasminya oleh pihak UTeM dan industri terlibat kepada Hospital Melaka pada 24 Jun 2020 lalu kepada Timbalan Pengarah Perubatan (iv) Hospital Melaka, Dr. Mohd Rosli Tompang.
 
Disaksikan oleh Ketua Unit Kejuruteraan Operasi Hospital Melaka, Ir. Ahmad Nizam Isa, Ketua Pusat Kecemerlangan (CoE) UTeM, Prof. Dr Zahriladha Zakaria, Pengarah Pusat Hubungan Industri UTeM, Profesor Madya Dr Kok Swee Leong, Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori |(PPPC) UTeM, Fazidah Ithnin serta wakil pihak industri.
 
Timbalan Pengarah Perubatan (iv) Hospital Melaka, Dr. Mohd Rosli Tompang sewaktu mengulas menyatakan pihak Hospital Melaka amat menghargai pembangunan reruai ini kerana ianya amat penting bagi kami yang akan gunakannya secara optimum.
 
Ujarnya, ianya adalah kerana setiap pesakit yang akan menjalani pembedahan terutamanya akan melalui saringan Covid 19 ini justeru dengan adanya reruai ini sekaligus memberi kemudahan dan melancarkan keberkesanan operasi kami.