Skip to main content
Seramai 166 orang penuntut Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah melepasi saringan kesihatan menjadi kumpulan kedua yang mula bergerak pulang ke Zon Tengah 1 pada malam ini.
 
Ianya turut melibatkan 4 orang penuntut dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), Kolej Profesional MARA, Batu Pahat dan Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) sekaligus menjumlahkan seramai 170 orang penuntut semunya.
 
Pergerakan penghantaran pulang pada malam tadi memulakan perjalanan dari Dewan Canselor, kampus induk UTeM, Durian Tunggal Melaka sekitar jam 9.00 malam.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, proses penghantaran pada 4 Mei 2020 ini adalah seperti yang dijadualkan  bagi penghantaran penuntut dari Zon Selatan ke Zon Tengah 1 iaitu negeri  Selangor dan Kuala Lumpur.
 
Jelas beliau, penghantaran kumpulan kedua ini membabitkan penggunanaan sebanyak 15 buah bas yang akan menuju ke 11 destinasi.
 
"Antara destinasinya adalah Klang Selatan, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling Jaya, Gombak, Hulu Selangor, Cheras, Ampang Jaya, Sabak Bernam, Kajang dan Sepang," ujarnya.
 
Menurut beliau, saringan awal mencatatkan seramai 201 penuntut UTeM telah memohon namun hanya 166 penuntut yang berjaya disenaraikan.
 
Terdahulu kesemua kenderaan terbabit serta kesemua bagasi kumpulan kedua ini telah selesai menjalani proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA dan Penyelamat sebagaimana pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
 
Mengulas lanjut beliau berkata, menyentuh dari aspek perjalanan operasi keseluruhan pada hari ini berjalan dengan lancar dan sentiasa berteraskan SOP yang telah ditetapkan.