Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam rangkaian produk inovasi yang diiktiraf apabila berjaya merangkul enam pingat emas, empat pingat perak dan dua pingat gangsa menerusi The International Conference and Exposition On Inventions by Institutions of Higher Learning (PECIPTA) 2019.

PECIPTA 2019 ini telah berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Parit Raja, Johor pada 22 dan 23 September 2019 lalu.

Program dwi tahunan yang bertemakan “Innovation Beyond Imagination” merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia bersama institusi pengajian tinggi (IPT) bermula dari tahun 2001.

Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim dalam ulasan beliau mengenai kemenangan tersebut menyatakan bahawa kesemua 12 penyertaan yang dihantar bertanding oleh UTeM telah memenangi pingat pada PECIPTA kali ini.

Jelasnya, turut membanggakan pencapaian UTeM di PECIPTA 2019 ini merupakan yang tertinggi di kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang turut dianggotai oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan UTHM tersebut sendiri.

Katanya, enam pingat emas yang diraih UTeM adalah dimenangi menerusi produk A Novel Microwave Bio-Sensor with High Measurement Accuracy for Material Properties Detection, Chrominia Cutting Tool, Innovation on Visual Perception Screening Tool for Autistic Detection, Eos - Car Door Map Pocket-KEDAP, Light Weight Front Lower Control Arm (FLCA) for C-Segment Passenger Car dan Kenaf Crash Can.

"Empat pingat perak pula dirangkul menerusi projek bertajuk Origami CP Seater, A Simple Pico Hydro System for Low Head Low Flow Water Resources, Intelligent Wi-Neuro Controlled Portable Power Socket (NeoS) dan Comprehensive Assessment on Hybridization Graphene-CNTCopper Ink based on Mechanical and Electrical Behavior.

"Manakala dua pingat gangsa dimenangi menerusi produk River Trash Collector System Mark III (RTCS Mk III) dan New Liquid Route Feedstock Production Technique for Thixoforming of Multi-wall CNT Aluminium Alloy Composite for Light Weight Automotive Component," ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada pertandingan ini UTeM turut meraih kejayaan merangkul Anugerah Khas menerusi produk River Trash Collector System Mark III (RTCS Mk III) yang mana memberi impak besar kepada komuniti.

Penganjuran PECIPTA ini adalah bertujuan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan inovatif dari IPT selain daripada mempertandingkan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik, program ini juga bertujuan meningkatkan jaringan dan kerjasama dalam kalangan peserta dan industri yang berpotensi untuk meneroka dan mengkomersilkan produk mereka.

Majlis Penutup Program PECIPTA 2019 kali ini telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi KPM, Datin Paduka Ir Dr. Siti Hamisah Tapsir.