Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan (FTKMP), telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama tiga syarikat industri terkemuka di negara ini bertempat di Bangunan Canselori UTeM, Kampus Induk, Durian Tunggal, baru-baru ini.

Tiga industri berkenaan adalah Syarikat Go Automobile Manufacturing Sdn. Bhd. yang mana wakil mereka telah diketuai oleh Pengarah Eksekutif Teknikal Plant, Wan Ahmad Wan Omar.

Dua syarikat lagi adalah DreamEDGE Sdn Bhd yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Khairul Adri Adnan dan Kah Group Sdn. Bhd yang mana diwakili oleh Pengarah Urusan Kah Group, Syahrul Nizam Mohd Khair.

Go Automobile Manufacturing berperanan sebagai rakan strategik UTeM dalam pembangunan penyelidikan, projek teknikal dan akademik berkaitan bidang teknologi automotif lalu menjadikan UTeM sebagai hub Teaching Factory khasnya di Melaka dan Malaysia amnya.

Sementara itu, UTeM dan DreamEDGE Sdn. Bhd. pula berkisar kepada perkongsian kepakaran teknologi terkini selari Revolusi Industri 4.0 manakala kerjasama bersama KAH Group pula sebagai rakan strategik dalam pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di mana kolaborasi strategik ini mampu menjadikan UTeM sebagai hub pembangunan dan penyelidikan eko-pelancongan.

Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim merakamkan ucapan penghargaan kepada ketiga-tiga syarikat berkenaan yang telah menjadi rakan strategik UTeM menerusi MoU tersebut.

Jelas beliau, secara umumnya kerjasama strategik ini bukan sahaja memberi manfaat kepada perkembangan akademik dan penyelidikan di UTeM, malah bakal mewujudkan sinergi yang memberi impak yang lebih dinamik kepada rakan-rakan industri.

"Platform ini turut menjadi medan pemindahan pengetahuan, kepakaran dan kemahiran tenaga pengajar fakulti dan warga universiti di samping menambahbaik program akademik di fakulti menerusi pelantikan Panel Penasihat Industri (IAP)," ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, MoU ini turut menyokong pelaksanaan program pertukaran kakitangan dan pelajar, sangkut industri dan penyelidikan bersama di samping melaksanakan sesi perkongsian dengan wakil-wakil industri yang berpengalaman kepada para pelajar dan staf.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Profesor Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, Dekan FTKMP Profesor Madya Dr Umar Al Amani Azlan serta pegawai-pegawai kanan UTeM yang lain.