Skip to main content

Pusat Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan (PBPI), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan menganjurkan Program Eksplorasi Citra Patriotik 2019 (ECP2019) pada 3 Ogos 2019.

Pengarah Program ECP2019, Fauziah Abdullah berkata, antara objektif penganjuran program ini adalah bertujuan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan pelajar UTeM bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan Negara ke-62 dan Tahun Melawat Melaka 2019. 

Jelas beliau, program ini juga menyediakan platform untuk mereka mengekspresikan kreativiti dengan mengenali warisan, seni dan budaya pelbagai kaum melalui elemen kemahiran insaniah.

Ujar beliau, sebanyak 11 aktiviti dan pertandingan bercorak santai dan ilmiah dipertandingkan untuk melatih pelajar baharu UTeM menjiwai semangat patriotik dan memahami konsep kedaulatan negara.

“Program ini juga turut menerapkan elemen kepimpinan, komunikasi, kesukarelawan dan kemahiran kerja berpasukan dalam kalangan  lebih 25 kumpulan daripada 600 orang mahasiswa baharu Program Diploma Semester Khas Permulaan  2019 UTeM,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Profesor Dr Raha Abdul Rahim berkata, UTeM sentiasa mendukung usaha-usaha ke arah memupuk semangat cintakan negara.

Katanya, sebagai sebuah institusi kecemerlangan ilmu maka UTeM terus memupuk budaya patriotik dan semangat sayangi tanahair seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2019 “Sayangi Malaysiaku : Malaysia Bersih”.

“Sempena dengan sambutan Bulan Kebangsaan 2019 ini pihak UTeM telah merancang dan akan melaksanakan banyak lagi program berkaitan selari dengan aspirasi nasional,” katanya lagi.

Berbalik kepada Program ECP2019  ini akan diadakan di kampus induk UTeM dan majlis perasmiannya pula akan disempurnakan oleh Exco  Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Program ECP 2019 ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSM), Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM), Institut Warisan Melaka (INSWA), Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN Melaka), ADABI Sdn Bhd dan MYDIN.