Kontinjen yang terdiri daripada barisan atlet Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tekad beraksi cemerlang dalam Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) dan Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) pada kali ini.
Perkara ini telah bersemarak sewaktu Majlis Penyerahan Bendera Kontingen UTeM ke Kejohanan SUKANUN dan Kejohanan SUKUM bertempat di Auditorium Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal anjuran Pusat Sukan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap serta turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM, Prof. Datuk Dr Mohd Razali Muhamad, Ketua Pegawai Operasi UTeM, Masdzarif Mahat, Ketua Pegawai Maklumat UTeM merangkap ketua kontinjen, Mohd Isa Mohd Dom, Pengarah Pusat Sukan Hal Ehwal Pelajar UTeM, Dr. Rosli Saadan serta pegawai kanan UTeM dan barisan urusetia kontinjen, jurulatih, pengurus-pengurus asukan dan para atlet Kontinjen SUKANUN dan SUKUM 2019.
Prof. Madya Dr. Nurulfajar dalam ucapan pelancaran dan penyerahan bendera tersebut menyatakan bahawa Pengurusan Tertinggi Universiti sangat menyokong kepada aktiviti pembudayaan sukan di peringkat universiti, bukan sekadar untuk pertandingan, tetapi lebih penting ialah untuk melahirkan warga UTeM yang sihat dan cergas.
Ujarnya lagi, aktiviti dan amalan gaya hidp sihat ini menjadi fokus dan matlamat universiti untuk melahirkan warga UTeM yang mempunyai minda kelas pertama dan juga mempunyai fizikal dan kesihatan yang baik dan mampu menyumbang kepada kecemerlangan universiti ini.
Tambah beliau, penyertaan peserta sebagai Atlet UTeM juga merupakan Duta kecil kepada Universiti dan haruslah menjaga nama baik dan imej UTeM di samping bersaing secara sihat dengan disiplin serta semangat yang kental seterusnya menempah kejayaan.
Kejohanan SUKANUN telah pun mula berlangsung bermula dari 19 sehingga 26 Julai di sekitar Lembah Klang manakala Karnival SUKUM 2019 pula dijangka bermula 23 sehingga 30 Julai bagi Fasa Pertama dan Fasa Kedua bermula pada 29 Julai sehingga 4 Ogos bertempat di Universiti Malaysia Pahang.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM, Prof. Dr. Raha Abdul Rahim mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan atlet yang mewakili UTeM serta berharap mereka mempamerkan mutu permainan terbaik dalam kejohanan ini.
Katanya, para atlet yang bertanding harus mengekalkan sikap kerjasama, toleransi dan semangat kesukanan yang tinggi di samping platform ini turut menjadi medan kepada para atlet untuk melebarkan lagi jaringan interaksi dan kerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan dari seluruh negara.
Sepintas lalu untuk perkongsian semua, pihak UTeM turut merakamkan ucapan tahniah kepada atlet UTeM yang telah mewakili negara ke Kejohanan Sukan Universiti Dunia Universiade Napoli, Itali, Hamdanwahid Rinaldi dari Pasukan Taekwondo yang telah menyumbang Pingat Gangsa Pertama Kontingen Malaysia bagi acara Team Sparring dan Staf UTeM.
Ucapan tahniah juga buat Mohd Nor Derus, Yazid Abu, Sapian Wahid dan Rahim Bakar yang dilantik sebagai jurulatih pasukan bola sepak Melaka United dan Syarikat Air Melaka dalam kancah liga bola sepak kebangsaan dan yang lebih membanggakan apabila seorang staf UTeM iaitu Ridzuan Rozali terpilih bagi mengadili perlawanan akhir Futsal AFC Bawah 20 tahun di Iran baru-baru ini.