Skip to main content

Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Komuniti & I-CoE, Pejabat Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan ST IoT Challenge 2019 bertempat di fakulti tersebut baru-baru ini.

Program sebegini menzahirkan bahawa UTeM telah berjaya mempamerkan peranannya sebagai universiti awam teknikal berprestij dalam menyerlahkan kecemerlangan inovasi bersama pihak industri serta komuniti pendidikan dalam negara.

Dekan FKEKK UTeM, Prof. Madya Dr. Mohd Shakir Md Saat berkata, sebanyak dua puluh tiga buah projek Internet of Things (IoT) daripada penyertaan sebelas buah sekolah sekitar Melaka dan Johor telah dipertandingkan bagi merebut Anugerah Inovasi STMicroelectronics yang ditaja dari syarikat STMicroelectronics dan Anugerah Inovasi FKEKK daripada UTeM.

Kataya, sekalung penghargaan kepada para mentor dan semua yang bertungkus-lumus dalam membantu pihak sekolah yang terlibat untuk merealisasikan setiap idea dan cadangan yang dilontarkan mereka untuk memenangi pertandingan tersebut.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak industri yang terlibat iaitu STMicroelectronics kerana sudi menaja dan menjadi nadi penggerak utama dalam memastikan pertandingan tersebut menjadi realit.

Lima sekolah dari Melaka yang terlibat dalam program tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Haji Talib Karim, Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang, Sekolah Menengah Kebangsaan Hang Kasturi, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah.

Manakala enam lagi sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Maharani, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Naning, Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, Sekolah Menengah Sains Muar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat.

Sekolah Menengah Sains Muar telah berjaya membawa pulang Anugerah Inovasi STMicroelectronics manakala Anugerah Inovasi FKEKK telah berjaya dibawa pulang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang. 

Sementara itu Pengarah Pusat Pembangunan Komuniti & I-COE PJIM, Prof Madya Dr Zoinol  berkata, program sebegini amat signifikan diadakan kerana ianya menyuntik kecemerlangan inovasi di peringkat persekolahan lagi.

Jelas beliau, inilah sebahagian peranan kami UTeM dalam memberikan impak langsung kepada pembangunan komuniti dan pendidikan dalam negara secara langsung.