Pusat Kesihatan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Unit Tabung Darah Hospital Melaka dan Kelab Rakan Kesihatan telah menganjurkan Program Derma Darah Ramadan bertempat di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM sewaktu bulan Mei 2019 lalu.
Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Dr. Mohamad Fuzi Saidin berkata, program ini bertujuan bagi membantu Hospital Melaka mengatasi masalah kekurangan bekalan tabung darah di hospital tersebut di samping memberi kesedaran kepada warga UTeM mengenai kepentingan dan kebaikan menderma darah.
Jelas beliau, program ini turut mendidik kepada warga UTeM untuk menjadikan pendermaan darah ini sebagai satu tanggungjawab dan budaya hidup seluruh warga UTeM selaras dengan sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menjadikan sekurang-kurangnya 5% rakyat Malaysia sebagai penderma darah dan walaupun sasaran ini masih belum tercapai, jumlah pendermaan darah kebelakangan ini telah menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun.
Menurut beliau, darah yang didermakan amat membantu menerusi pelbagai rawatan kes-kes terutamanya pembedahan jantung, pemindahan organ, rawatan pesakit-pesakit talasemia, haemofilia dan amenia yang memerlukan pemindahan darah yang kritikal yang mana program derma darah yang berlangsung pada bulan Ramadan ini merupakan program julung kali diadakan oleh UTeM kerana bekalan darah di Hospital Melaka ketika bulan Ramadan adalah sangat kritikal kerana kekurangan orang yang menderma pada bulan tersebut.
"Seramai 47 orang penderma berjaya dikumpulkan pada program yang bermula pada jam 8:00 malam sehingga 10:30 malam tersebut dan ia merupakan satu angka yang membanggakan untuk penganjuran derma darah di bulan Ramadan buat kali pertama di UTeM.
"Angka tersebut masih belum ditambah dengan jumlah penderma darah yang dijalankan sewaktu pra-ramadan yang berlangsung di di Pusat Persatuan Pelajar pada pada 2 April lalu bermula pada jam 9:30 pagi sehingga 3:00 petang seramai 131 orang," ujar beliau lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berharap agar program derma darah Ramadan ini akan menjadi program tahunan UTeM dalam membantu Hospital Melaka mengumpulkan darah pada waktu kritikal di samping cuba untuk memberikan kesedaran kepada warga UTeM untuk mendapatkan seramai penderma darah yang mungkin.
Program tersebut bukan sahaja berfokuskan kepada kempen menderma darah semata, namun warga yang tidak berkesempatan dalam menderma darah turut boleh melawat pameran kesihatan 5M yang disediakan di samping menyertai saringan merokok dan kesihatan mental, menyertai kuiz kesihatan, mengambil bahagian dalam jualan amal di samping menonton tayangan video mengenai kesedaran kesihatan anjuran Hospital Melaka.