Skip to main content

Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengadakan program Bakti Siswa bersama dengan anak-anak yatim.

Program berkenaan telah diadakan bertempat di Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM), Sungai Udang , Melaka, baru-baru ini.

Seramai 27 orang fasilitator yang merupakan ahli PERMATA UTeM mengambil bahagian dalam program yang melibatkan pelajar PAYASUM yang berumur antara 8 hingga 17 tahun.

Pengarah Program, Nur Nabilla Mazlan berkata, program ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan diri siswa UTeM dengan anak-anak yatim di sini.

Jelasnya, ianya juga adalah untuk memupuk hubungan silaturrahim serta  menerapkan rasa simpati, kasih sayang serta membina jati diri yang kuat dalam diri setiap insan.

Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Akademik), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) merangkap Penasihat PERMATA UTeM Profesor Madya Dr. Wan Hasrulnizzam Wan Mahmood yang turut memberikan motivasi kepada para peserta.

Perasmian penutup program ini telah disempurnakan oleh ahli jawatankuasa Lembaga PAYASUM Abdul Halim Sulaiman.  

Menurut beliau, pihak PAYASUM amat menghargai niat murni PERMATA UTeM dalam mengisi masa pelajar PAYASUM dengan perkara yang mampu meningkat semangat mereka dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan dan mengejar kejayaan.

“Pihak PAYASUM amat mengalu alukan mana mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti atau ingin memberikan sumbangan kepada pihak mereka dalam memastikan urusan seharian peserta di PAYASUM dapat ditambah baik dari semasa ke semasa,” ujar beliau lagi.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya menerapkan pelbagai nilai kerohanian, pendedahan terhadap peranan dan tanggungjawab pelajar sebagai ketua dalam memimpin sesuatu perkara.