Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Kediaman Satria Tuah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Seminar Motivasi dan Pemantapan Diri.
Program ini ini telah diadakan di Masjid Sayyidina Abu Bakar, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Pengarah Program, Muhammad Fakhran Che Jusoh@Yusoff berkata, program berobjektif antaranya untuk memupuk semangat kerohanian dan kemahiran insaniah dalam diri mahasiswa.
Jelas beliau, melalui program ini para pelajar memperolehi ilmu dan pada masa yang sama mereka turut mendapat pengalaman menganjurkan program sebegini.
“Kami sangat gembira kerana program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pada mahasiswa,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Satria Tuah, Dr. Al Amin Mohamed Sultan menyatakan program seperti ini perlu diadakan secara lebih kerap bagi membina mahasiswa yang bersahsiah tinggi dan berperibadian unggul.
Katanya, program motivasi ini selari dengan konteks semasa agar para mahasiswa lebih terarah dan mendapat sokongan yang betul dalam membina diri.
“Ianya juga beraspirasikan UTeM dalam melahirkan mahasiswa yang bercirikan ikon kepahlawanan TUAH yang dilancarkan di UTeM iaitu berelemenkan tangkas, unggul, adaptif dan holistik,” kata Al Amin yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan Pembuatan.
Sanjivan a/l Karunakaran, salah seorang mahasiswa yang menyertai program ini berkata, melalui program ini para mahasiswa sentiasa dapat membuat refleksi diri supaya mereka tidak mudah leka dengan cabaran dunia masa kini.
Manakala salah seorang ahli jawatankuasa program ini, Mohamad Aiman Hafizhan Mohd Zuki berkata, program motivasi sebegini adalah sangat penting dan penglibatan mahasiswa daripada pelbagai latarbelakang, kaum dan agama menjadikan program ini lebih berjaya dan menjadi platform integrasi antara kaum.
Ceramah turut disampaikan oleh Zamzuri Abdul Majid yang merupakan Timbalan Yang DiPertua Pertubuhan IKRAM Malaysia Negeri Melaka.