Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memberikan tumpuan dalam aspek pembangunan dan kerancakan arena sukan ping pong di negara ini.
Selari dengan itu maka Pusat Sukan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM dengan kerjasama Kelab Ping Pong Pelajar UTeM telah menganjurkan Kejohanan Ping Pong Terbuka - Pusat Sukan Tumpuan (PST) Ping Pong UTeM 2019.
Kejohanan tahunan yang sebelum ini hanya dikenali sebagai Kejohanan Ping Pong ini telah berlangsung di Dewan Sukan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Pada tahun ini telah dijenamakan semula seiring dengan taraf kejohanan penganjuran yang mana buat julung kali telah menerima sebanyak 380 penyertaan yang terdiri dari pelbagai negeri seperti Pahang, Perak, Terengganu, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Melaka.
Menurut Pengarah Pusat Sukan UTeM, Dr. Rosli Saadan berkata, penganjuran kejohanan ping pong ini adalah bertujuan untuk menyahut saranan dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membudayakan sukan ping pong di kalangan pelajar, warga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan komuniti seluruh Malaysia.
Jelas beliau, ianya juga bertujuan untuk memberi pendedahan dan mengukur prestasi atlet melalui program pembangunan yang telah disediakan di samping sebagai persediaan pasukan UTeM bagi menghadapi pelbagai kejohanan utama yang bakal dianjurkan kelak.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap berkata, pihak UTeM gembira dengan sambutan penyertaan yang amat luar diterima pada tahun ini dan ini telah memberikan signal kepada kami untuk membuat persediaan yang lebih baik lagi bagi penganjuran tahun hadapan.
Tambah beliau, UTeM menjangkakan penganjuran akan datang terus mendapat sambutan yang hebat yang mana kami berharap ianya akan mencatatkan rekod terbaru Malaysia di dalam Malaysia Book of Records.
Kejohanan ping pong ini menyaksikan pasukan Halamanda dari Kuala Lumpur membawa pulang gelaran johan bagi kategori berpasukan dan menerima hadiah kemenangan berjumlah RM1,200.00 bersama piala pusingan dan untuk kategori perseorangan pula, Chuang Kuan Chien dari Nanyang TTC telah meraih kedudukan johan dan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM100.00.