Barisan mahasiswa dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP) turut sama menyumbang tenaga dalam usaha memerangi wabak denggi yang melanda negeri Melaka.
Kumpulan pelajar ini telah menyertai Program Gotong-royong MEGA Bersepadu 1.0 Perangi Denggi 2019 yang diadakan serentak seluruh negara baru-baru ini.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Alor Gajah ini memberikan tumpuan kepada Taman Rembia Jaya yang telah diisytiharkan kawasan wabak denggi di sini.
Dekan FTKMP UTeM, Profesor Madya Dr Umar Al-Amani Azlan berkata, penyertaan dari kalangan mahasiswa dan pihak pengurusan UTeM ini adalah berteraskan sikap cakna, prihatin serta tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
Jelasnya, seramai 35 orang pelajar FTKMP telah menggembleng tenaga menjayakan program gotong-royong ini bersama dengan penduduk setempat serta beberapa agensi kerajaan lain yang terlibat sama.
“Hasil daripada aktiviti gotong-royong ini, banyak kawasan pembiakan nyamuk aedes gerak kerja pembersihan kawasan pembiakan aedes berjaya dilaksanakan denagn jayanya,” ulas beliau.
Mengulas lanjut beliau berkata, program seperti ini telah memberikan satu pendedahan yang amat baik kepada para pelajar tentang suasana bantu-membantu serta menyemarakkan semangat kerjasama.
“Ia juga dapat mengeratkan hubungan antara warga FTKMP dengan masyarakat setempat serta mempromosikan universiti kepada penduduk setempat,” katanya lagi.
Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Alor Gajah Rahizi Ranom dan turut dihadiri oleh Pegawai Kesihatan Daerah Alor Gajah Dr Hazlinda Hamzah serta wakil dari agensi-agensi yang terlibat.
Program ini turut melibatkan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Balai Polis Rembia, Jabatan Bomba & Penyelamat, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pertahanan Awam, Pejabat Parit & Saliran Alor Gajah, serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp) Melaka.