Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menerima seramai 331 orang pelajar baharu bagi program Sarjana Muda kemasukan Februari Sesi 2018/2019 bertempat di Perpustakaan Laman Hikmah, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
Uniknya bagi pendaftaran pelajar baharu ini merupakan kali pertama pemohon-pemohon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi, Asasi dan Lepasan Diploma Politeknik / universiti awam/swasta diterima untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat bagi Semester Februari berbanding pada sesi-sesi yang lepas yang hanya dibuka kepada lepasan Diploma dari UTeM sahaja.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTeM, Profesor Datuk Dr Mohd Razali Muhamad berkata, pendaftaran pelajar baharu kali ini adalah melibatkan 37 orang pelajar bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), 67 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK).
"Sementara itu, 85 orang bagi Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan 83 orang bagi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) manakala seramai 59 orang pelajar lepasan Diploma UTeM telah mendaftar bagi program pengajian di bawah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM)," ujar beliau lagi.
Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Akademik (BPA), Pejabat Pendaftar Mohd Nizam Pavel berkata, dari segi operasi keseluruhan pendaftaran pelajar ini berjalan dengan lancar seperti mana yang telah dirancangkan.
Menurut beliau, pelajar-pelajar baharu yang mendaftar menginap di kolej kediaman UTeM yang disediakan oleh pihak Universiti dan mereka diwajibkan mengikuti Hari Suai Kenal yang berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Februari 2019 lalu.
Dalam hari suai kenal tersebut, para pelajar mengikuti beberapa sesi antaranya Sesi Bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Sesi Taklimat Tatatertib dan Disiplin, Sesi Bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Program Jelajah Kampus, Sesi Taklimat Pembiayaan dan Kebajikan dan beberapa lagi program.
Kesemua taklimat yang diadakan ini bertujuan membantu pelajar-pelajar baharu tersebut menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran Universiti dan mengenali Universiti ini dengan lebih dekat di samping merapatkan lagi hubungan mereka dengan pihak pengurusan tertinggi serta warga kerja UTeM.