Tiga orang pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya merangkul pingat emas menerusi produk inovasi mereka Pico Hydro di The 5th International Inventors Awards Bali Indonesia (IYIA 2018) baru-baru ini.
“Pico Hydro : small streams sre good enough” merupakan produk inovasi yang dihasilkan berkaitan dengan teknologi tenaga boleh diperbaharui iaitu dalam bidang piko hidro telah berjaya memikat para juri di medan pertandingan bertaraf antarabangsa ini.
Menurut Dekan FTKEE Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff berkata, penyertaan FTKEE dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa merupakan inisiatif fakulti untuk mengetengahkan keupayaan pelajar-pelajar mereka bagi bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Tambah beliau, Penyertaan ini juga memberikan pendedahan yang sangat berharga kepada mereka dan ianya mampu meningkatkan keyakinan dan potensi pelajar-pelajar yang mana beliau sentiasa menyokong penyertaan FTKEE ke pertandingan-pertandingan inovasi dan seboleh mungkin mengharapkan penyertaan lebih ramai pelajar-pelajar FTKEE ini.
Sementara itu Penyelia projek tersebut, Ir. Dr. Mohd Farriz Basar menyatakan bahawa projek inovasi pelajar FTKEE ini telah dipilih untuk mewakili negara selepas menjadi johan dalam pertandingan World Young Inventor Exhibition 2018 (WYIA 2018) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center pada Mei 2018 yang lalu.
Katanya, rentetan daripada kejayaan tersebut maka Malaysia Invention and Design Society (MINDS) yang juga penganjur WYIA 2018 telah sudi untuk menaja yuran penyertaan, tiket penerbangan dan hotel penginapan bagi pelajar-pelajar ini ke IYIA 2018.
3 orang pelajar FTKEE ke pertandingan tersebut adalah Muhamad Redzuan Saharani yang merupakan pelajar tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri), Siti Nur Baijan Yaakop dan Naziah Ismail merupakan pelajar tahun 2 Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi).
Ketua Kumpulan Muhamad Redzuan berkata, pendekatan istimewa dalam produk inovasi ini adalah tidak memerlukan sebarang kos bagi pembinaan empangan serta sungai yang berarus deras untuk menjana tenaga hidro di samping produk ini mempunyai rekabentuk geometri yang menarik, mesra pengguna dan tidak menggunakan sebarang bahan yang mencemarkan alam sekitar.
“Produk ini juga mampu untuk menjana tenaga elektrik dengan hanya menggunakan sumber air yang berkelajuan dan berketinggian rendah serta sangat berbeza jika dibandingkan dengan teknologi hidro yang lain yang mana memerlukan kuantiti air yang sangat banyak dan deras bagi menghasilkan tenaga elektrik,” ujar beliau lagi.
Pertandingan IYIA 2018 yang telah diadakan buat kali kelima ini dianjurkan oleh Indonesian Invention and Innovation Promotion Association (INNOPA) telah memilih Bali sebagai destinasi pertandingan di mana sebelum ini diadakan di Jakarta dan Bandung.
Lebih daripada 300 produk inovasi dan penyelidikan telah menyertai pertandingan ini yang melibatkan negara-negara antaranya seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Rusia, Jordan, Iran, Taiwan, China dan India.