Pusat Kelestarian dan Alam Sekitar (PKA) dengan kerjasama Perpustakaan Laman Hikmah (PLH), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah menganjurkan Sambutan Minggu Alam Sekitar 2018 yang dilancarkan pada 27 September lalu bertempat di PLH, UTeM.
Sambutan Minggu Alam Sekitar yang berlangsung sehingga 6 Oktober kelak merupakan satu program kesedaran alam sekitar bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang telah dimeterai perjanjian persefahamannya pada tahun 2013 bertujuan merancakkan usaha UTeM ke arah pusat kelestarian serantau dengan membudayakan amalan hijau ke arah penjagaan alam sekitar sifar cemar.
Menurut Pengarah PKA, Prof. Madya Juhari Ab. Razak sewaktu mengulas lanjut mengenai sambutan ini menyatakan bahawa UTeM dan JAS telah bekerjasama menjayakan acara tahunan Sambutan Minggu Alam Sekitar setiap tahun bermula dari tahun 2013.
Tambah beliau lagi, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi sambutan ini seperti Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dan e-Waste, Program Penanaman Semula Pokok, Program Kesihatan dan Derma Darah, Program Penghayatan Alam Semulajadi, Senamrobik, Khutbah Jumaat bertemakan alam sekitar, Program Berbasikal Sifar Karbon dan lain-lain lagi.
Buat julung kalinya, Sambutan Minggu Alam Sekitar 2018 UTeM telah melibatkan kerjasama dari Perpustakaan Laman Hikmah UTeM bagi menjayakan program-program sepanjang minggu tersebut dengan pelbagai aktiviti-aktiviti yang telah disusun bersempena dengan Karnival PLH yang disambut oleh Perpustakaan Laman Hikmah setiap tahun.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahin dalam ucapan beliau sewaktu merasmikan Karnival PLH dan Pelancaran Minggu Alam Sekitar turut menyatakan bahawa menerusi Sambutan Minggu Alam Sekitar yang diadakan, ianya mampu meningkatkan kesedaran akan perlunya warga UTeM dan masyarakat setempat di negeri Melaka memelihara alam sekitar disamping memupuk semangat dan cintakan kepada alam semula jadi, serta memelihara dan memulihara Bumi kita.
Ujar beliau lagi, beliau turut berterima kasih di atas penyertaan pihak luar yang turut sama menjayakan Sambutan Minggu Alam Sekitar tersebut seperti JAS, Persatuan Inovasi Pendidikan Pelancongan Malaysia (MyIETA), MeriahTek (M) Sdn. Bhd., Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Alam Sekitar Malaysia Sdn. Bhd. (ASMA), SWCorp Malaysia, Suruhanjaya Tenaga, Hospital Putra dan Bank Rakyat di atas kerjasama yang diberikan.