Dalam usaha penjagaan kesihatan dan memastikan kampus bebas denggi maka Pusat Kesihatan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus komited dalam melaksanakan langkah-langkah dan tindakan secara aktif bagi mencapai agenda murni ini.
Antara inisiatif yang telah diambil oleh Pusat Kesihatan UTeM adalah dengan mengambil bahagian dalam Pertandingan Universiti Awam Bebas Denggi Sempena Majlis Sambutan Hari Denggi peringkat ASEAN 2018 yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Program Anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menjalankan proses penjurian bagi melibatkan lima lokasi utama di kesemua universiti awam di Malaysia.
Menurut Pengarah Pusat Kesihatan UTeM, Dr. Mohamad Fuzi Saidin berkata, terdapat lima lokasi yang terlibat dalam proses penjurian adalah bangunan pentadbiran, fakulti, kolej kediaman, kuarters kakitangan dan padang awam ataupun tempat rekreasi di UTeM.
Katanya, objektif utama pertandingan ini antaranya adalah bagi memupuk kesedaran dalam kalangan seluruh warga universiti awam tentang aspek kesedaran dan tindakan pencegahan denggi yang berpunca daripada pembiakan nyamuk Aedes.
Tambah beliau lagi, penjurian juga adalah untuk memastikan semua Pusat Kesihatan universiti awam mengambil langkah pencegahan dan membersihkan kawasan dan tempat-tempat yang boleh menggalakkan pembiakan nyamuk denggi bagi memastikan kawasan universiti awam menjadi kawasan bebas Aedes dan denggi.
Secara umumnya proses penjurian telah melibatkan 5 zon di seluruh negara iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Pantai Pantai timur serta Zon Sabah Sarawak yang mana kriteria penjurian juga ditetapkan menerusi kategori pengurusan denggi, kebersihan persekitaran dan program kesedaran yang dijalankan di universiti.
Selari dengan perkara ini UTeM terdahulu secara proaktif telah berjaya menubuhkan serta menjayakan peranan Jawatankuasa Kawalan dan Pencegahan Denggi peringkat UTeM.