Skip to main content

Berbekalkan semangat kesukanan yang tinggi Pasukan Berbasikal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mulakan Program Kayuhan Jelajah Malaysia Atlet Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal UTeM-KPT 2018 yang telah berlangsung bermula dari 9 sehingga 16 Julai 2018 nanti.

Kayuhan yang bermula di Dataran Canselori Kampus Induk UTeM Durian Tunggal telah dilepaskan oleh Bendahari UTeM Khairul Taib  yang mana ianya merupakan  kayuhan pelancaran peringkat pertama dari UTeM ke Batu Pahat sejauh 132 kilometer dan menariknya kayuhan ini turut disertai oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Kayuhan tersebut akan melibatkan keseluruhan negeri di Semenanjung Malaysia dengan perjalanan berjarak keseluruhan sejauh 1,372 Kilometer yang mana kayuhan turut merentasi  Mersing pada 9 Julai, Kuantan pada 10 Julai, Kuala Terengganu pada 11 Julai, Kelantan pada 12 Julai dan Gerik pada 13 Julai.

Perjalanan akan diteruskan dengan pendakian mencabar dari Kuala Kangsar ke Cameron Highlands pada 14 Julai dan kemudian turun ke Tapah keesokan harinya pada 15 Julai dan seterusnya akan melalui Batang kali dan Bangi sebelum terus bergerak pulang ke UTeM pada 16 Julai.

Menurut Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, objektif program Kayuhan Jelajah Malaysia Atlet Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal UTeM-KPT 2018 adalah bagi menyahut hasrat universiti untuk membudayakan gaya hidup sihat di kalangan warga UTeM.

Tambah beliau lagi, Kayuhan Jelajah Malaysia itu turut menjadi cabaran terhadap diri beliau sendiri kerana ini merupakan pertama kali UTeM menganjurkan sesi kayuhan sejauh 1372 Kilometer dan beliau mengayuh sehingga ke Batu Pahat.

“Kayuhan ini secara tidak langsung menjadi latihan buat diri saya dan pasukan dalam mempersiapkan diri bagi menyertai sesi kayuhan ke luar negara yang sedang giat dirancang”, ujar beliau lagi mengakhiri temubual.

Pasukan Program Kayuhan Jelajah Malaysia Atlet Pusat Sukan Tumpuan Berbasikal UTeM-KPT 2018 telah disertai kira-kira 7 orang pelajar dan 10 orang kakitangan UTeM dijangka tiba pada 16 Julai dan disambut oleh Naib Canselor UTeM sendiri bagi meraikan kejayaan tersebut.