Skip to main content

Dengan inisiatif berkonsep pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sambil beriadah mendaki Gunung Ledang maka Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Pejabat Pendaftar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program “Bumi Hijau Warisan Kita” baru-baru ini.

Program ini melibatkan seramai 10 orang peserta ekspedisi yang terdiri dari kalangan kakitangan Pejabat Pendaftar UTeM.

Timbalan Pendaftar Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Pejabat Pendaftar Azhar Mohd Salleh berkata, antara objektif diadakan program ini adalah memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk memelihara bumi hijau yang merupakan warisan kita bersama.

Katanya, ekspedisi ini juga merupakan strategi untuk melihat kesesuaian keadaan muka bumi bagi tujuan melaksanakan misi yang lebih bermakna yang akan dilaksanakan kepada warga UTeM dalam kumpulan yang lebih besar pada masa akan datang.

Mengulas lanjut beliau berkata, program ini juga dapat menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta yang terbabit sekaligus menjayakan aspirasi pengurusan tertinggi UTeM bagi melahirkan warga universiti yang sihat dan cergas.

Sementara itu Pengarah Program merangkap Penolong Pendaftar HRD Pejabat Pendaftar Mohd Farid Mohd Khalid mengulas bahawa pengalaman ekspedisi ini dapat membantu persiapan Kursus Asas Pendakian yang bakal dianjurkan nanti.

Tambah beliau aktiviti CSR ini akan terus menjadi contoh dan motivasi kepada penganjur-penganjur kursus yang lain agar bersedia menyumbang bakti kepada masyarakat.