Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melantik Masdzarif Mahat sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM berkuat kuasa pada 1 Mei 2018 bagi tempoh tiga tahun untuk menggantikan Datuk Hasan Sirun yang merupakan Pendaftar UTeM yang telah bersara pada tarikh yang sama.

Datuk Hasan Sirun, Mantan Pendaftar.
Datuk Hasan Sirun, Mantan Pendaftar.

Masdzarif merupakan antara peneraju dalam penubuhan UTeM yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM) sejak tahun 2003 yang mana beliau bermula sebagai Penolong pendaftar pada tahun 2003 sehingga 2007.

Beliau mengorak langkah kemajuan apabila dilantik sebagai Ketua Penolong Pendaftar bagi tempoh setahun bermula 2007 sehingga 2008 dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Pendaftar di Bahagian Dasar dan Kualiti Pengurusan, Pejabat Pendaftar, bagi tempoh 6 tahun bermula pada 2008 sehingga 2014.

Pada tahun 2014, beliau dilantik sebagai Timbalan Pendaftar Kanan dan diberikan kepercayaan sebagai Ketua, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar sehingga 30 April 2018 dalam pada waktu yang sama juga, beliau turut menjalankan tugas sebagai Pendaftar bagi menggantikan Datuk Hasan sewaktu beliau sedang bercuti.

Pengumuman pelantikan ini turut akan diumumkan sewaktu Perhimpunan 1UTeM yang diadakan pada 16 Mei kelak bersama dengan penyerahan Fail Meja Ketua Pegawai Operasi yang terbaru.

Sepintas lalu, dari segi akademik pula Masdzarif memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of North Texas, Denton, Texas, Amerika Syarikat. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC) UTeM, pemilihan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh Lembaga Pengarah Universiti yang mana pelantikan itu mengambil kira pengalaman akademik, kepakaran dan pentadbiran yang seiring dengan status UTeM sebagai universiti berfokus yang berteraskan bidang teknikal.

Sehubungan itu pihak UTeM turut mengambil peluang ini merakamkan penghargaan kepada Datuk Hasan Sirun di atas sumbangan dan kecemerlangan yang telah dicurahkan oleh beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama UTeM sejak awal penubuhannya dari tahun 2000 hingga kini yang mana UTeM telah terzahir sebagai universiti awam teknikal paling berprestii di negara ini.