Skip to main content

Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berterusan dalam menyokong misi dan visi kerajaan Negeri Melaka dalam merealisasikan Melaka Bandar Teknologi Hijau menerusi produk inovasi bertaraf antarabangsa rekaan mereka yang dinamakan sebagai Young Coconut Green Desiccant.

Produk hasil rekaan tiga orang pensyarah muda Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) tersebut telah memfokuskan kepada penggunaan sisa buangan agro domestik bagi mengurangkan pencemaran udara iaitu masalah bau yang sering berlaku di kawasan perumahan.

Menurut ketua penyelidik projek tersebut, Norain Idris menyatakan bahawa idea inovasi tersebut tercetus setelah melihat kepada lambakan agro yang boleh didapati di mana-mana dan cetusan idea terhasil dengan inovasi yang boleh menyelesaikan masalah seharian serta menjana pendapatan melalui pengkomersilan produk tersebut.

Tambah beliau lagi, inovasi tersebut turut bakal menyelesaikan masalah lambakan sampah dan proses pengurusan sisa pepejal di tapak pelupusan sampah yang tidak terkawal dan bersistematik yang mana perkara tersebut telah mewujudkan keadaan yang kurang menyenangkan dan memberi banyak i kesan negatif terutama pada jangka masa yang panjang.

“Selain dapat menyelesaikan masalah ruang di tapak pelupusan dan bau yang kurang enak, produk ini lebih ‘hijau’ sekaligus menyokong status Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau kerana ia tidak mengeluarkan gas berbahaya seperti sebatian organik meruap, ujar beliau lagi di akhir temubual.

Projek Young Coconut Green Desiccant telah mula dilaksanakan pada tahun 2014 dengan menggunakan dana penyelidikan Research Acculturation Grant Scheme (RAGS) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan hasil kerjasama dan gerak kerja bersama dua orang lagi pensyarah UTeM iaitu Intan Mastura Saadon serta Rosziana Hashim bersama tujuh orang pelajar FTK dari pelbagai latar belakang kejuruteraan.                         

Menurut Timbalan Dekan FTK pula, Ir Dr. Mohd Farriz Basar sewaktu ditemui menyatakan bahawa dalam menghasilkan produk ini, para pelajar yang terlibat akan digarap dari segi pengetahuan pengaturcaraan komputer dan reka bentuk yang mana pelajar dapat meningkatkan kemahiran berfikir sebagai seorang teknologis yang menitikberatkan kemahiran penyelesaian masalah dan aplikasi.

Tambah beliau lagi, selain pemupukan nilai kerjasama, kemahiran komunikasi juga dapat digarap dan pembelajaran secara ‘hands-on’ juga dapat diterap dikalangan pelajar yang terlibat dengan projek reka cipta sebegini, sekaligus menyokong misi UTeM sebagai universiti teknikal pertama dalam melaksanakan Pendidikan TVET.

“Produk hasil dari inovasi yang digunakan boleh dikomersilkan dengan harga yang berpatutuan dan murah kerana material yang digunakan adalah dari sisa buangan yang banyak terdapat di serata Melaka iaitu sisa kelapa muda dimana ianya diproses dengan kaedah tertentu dan dikeringkan sehingga dapat digunakan sebagai medium penyerap lembapan yang digunakan dalam alat penyahlembap bagi menggantikan medium yang lazimnya adalah bahan kimia dalam alat penyahlembap yang sedia ada di pasaran yang mengeluarkan gas berbahaya yang besifat karsinogenik dan menyebabkan masalah pernafasan jika dihidu dalam kadar masa yang lama,” katanya lagi.

Hasil penyelidikan ini pernah dipertandingkan dalam dua pertandingan inovasi iaitu UTeMeX 2015 dan MiniUTeMeX pada tahun 2016 dan telah merangkul pingat gangsa bagi kedua-dua pertandingan dan menurut ketua penyelidikan inovasi ini menjelaskan bahawa produk tersebut akan diperkemaskan lagi bagi tujuan pengkomersilan orang ramai.