Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Anugerah Kegemilangan Pelajar 2017 baru-baru ini bertempat di Kompleks Sukan UTeM bagi mengiktiraf pelajar dan kakitangan UTeM yang telah bergiat aktif dalam menaikkan nama universiti di peringkat universiti, kebangsaan dan persada antarabangsa.
Program yang telah berlangsung pada minggu lalu menyaksikan 12 anugerah kegemilangan pelajar diserahkan kepada individu, kumpulan dan wakil fakulti yang meraih kegemilangan menerusi pelbagai kategori utama yang dipertandingkan.
Rian Azman yang merupakan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM sesi 2017/2018 meraih Anugerah Pelajar Gemilang disamping turut merangkul Anugerah Kepimpinan bagi kategori individu dan Anugerah Keusahawanan kategori Individu di mana kategori kumpulan pula telah dimenangi oleh Kelab Keusahawanan.
Menurut Rian yang ditemui selepas majlis menyatakan bahawa beliau bersyukur diatas penganugerahan yang diterima oleh beliau dan berharap agar anugerah yang disampaikan oleh Naib Canselor UTeM tersebut menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk terus memajukan diri bagi mencapai kejayaan.
Anugerah Kegemilangan Pelajar tersebut turut menyaksikan pelajar ijazah sarjana muda kejuruteraan mekanikal tahun 4, Tan Kok Sian menerima Anugerah Khas Juri di samping Anugerah Persatuan Fakulti Terbaik dirangkul oleh Society of Manufacturing Engineers (SME), Fakulti Kejuruteraan Pembuatan manakala Anugerah Kelab, Persatuan, Sekretariat, Badan Beruniform Terbaik untuk kategori kumpulan pula dimenangi oleh Pembimbing Rakan Siswa (PRS).
Di atas pencapaian yang membanggakan dalam bidang kebudayaan dan muzik sehingga membawa nama UTeM ke peringkat kebangsaan pada tahun 2017, para juri turut bersepakat untuk menobatkan Anugerah Kebudayaan dan Muzik kepada Muhammad Amirul Hakimi Ismail bagi Kategori Individu manakala untuk kategori kumpulan pula menjadi milik Kelab Kasawari telah berjaya merangkul kemenangan utama mengalahkan kelab-kelab utama yang lain.
Kolej Kediaman Lestari pula berjaya merangkul anugerah kolej kediaman terbaik menewaskan Kolej Kediaman Al-Jazari yang merangkul anugerah yang sama pada tahun lepas manakala bagi Anugerah Kemasyarakatan dan Kesukarelawan kategori individu dimenangi oleh Hanaz Husin dan kategori Kumpulan pula diraih oleh FETSA dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan.
Anugerah Kegemilangan Pelajar 2017 ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid, Bendahari UTeM, Khairul Taib dan barisan pengurusan tertinggi UTeM yang lain.