Skip to main content

Seramai 40 orang Mahasiswa dan Mahasiswi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berganding bahu dalam menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR)  bertempat di Bukit Bayan, Melaka menerusi Program Kembara Maju Bersama Negaraku anjuran bersama SekretariatNegaraku, Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah bersama 1M4U minggu lalu.

Program yang turut disertai oleh Pegawai Daerah Melaka Tengah, Datuk Anis Ali Hasan serta Prof. Datuk Dr. Mohd Ruddin Abd Ghani yang merupakan Profesor bagi Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) UTeM telah bersama menelusuri Masjid Lama Bukit Bayan, Melaka dalam membantu penduduk kampung setempat membersihkan persekitaran kawasan tersebut.

Ucapan perasmian oleh Datuk Dr. Mat Sirat Abu, Pengerusi JAPERUN Dun Bukit Baru.
Ucapan perasmian oleh Datuk Dr. Mat Sirat Abu, Pengerusi JAPERUN Dun Bukit Baru.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid sewaktu ditemui selepas tamat program mengucapkan ribuan terima kasih kepada para mahasiswa dan mahasiswi yang telah terlibat secara langsung dalam program CSR tersebut.

Tambah beliau lagi, program ini juga berjaya mencapai objektif penganjuran untuk memupuk kesedaran mahasiswa dan mahasiswi di samping komuniti setempat mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara kebersihan alam sekitar di samping memberi pendedahan terhadap kerja-kerja komuniti yang boleh disumbangkan.

“Sebagai generasi baru yang bakal memimpin dan mewarisi negara, mahasiswa dan mahasiswi perlu mengambil langkah proaktif dalam membina perpaduan antara kaum disamping menerapkan nilai-nilai kebersihan dan penjagaan kesihatan”, ujar beliau mengakhiri temubual.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti membersihkan kawasan persekitaran masjid lama Bukit Bayan termasuklah kawasan dalaman, mengecat semula dan menceriakan kawasan persekitaran dengan penanaman pokok bunga dan pembersihan kawasan longkang bagi memastikan pengaliran air tidak tersumbat.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi JAPERUN Dun Bukit Baru, Datuk Dr. Mat Sirat Abu dan turut diserikan dengan kemunculan duta 1M4U, Ella dan Johan As’ari dalam membantu mereka sepanjang program tersebut.