Pusat Pengajaran dan Pembelajaran (PPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganjurkan Program Pemantapan Perkembangan Projek Educator 4.0 (E-4.0) bertempat di Akademi Samsung IoT UTeM, Kampus Teknologi UTeM Ayer Keroh baru-baru ini.
Menurut Pengarah PPP UTeM Profesor Dr Faaizah Shahbodin berkata, Program E-4.0 ini merupakan usaha melahirkan Training of Trainer (TOT) dalam kalangan tenaga pengajar dari universiti awam di negara ini.
Tambah beliau, UTeM telah menjadi pilihan pertama bagi melaksanakan program TOT ini yang mana para peserta yang dipilih bagi menjalani program ini adalah dalam kalangan pengarah, timbalan pengarah, timbalan dekan akademik, ketua jabatan dan pensyarah kanan.

“Secara konsepnya dalam program ini para peserta didedahkan untuk memikir semula pengajaran dan mereka bentuk semula pembelajaran agar ianya menjadi lebih relevan dengan generasi Gen-z”.
“Selain itu, konsep transformasi pengajaran dilaksanakan untuk lebih interaktif serta menekankan pembelajaran aktif imersif dan bermakna yang mana peserta didedahkan teknik aplikasikan pendekatan Heutagogi yang menekankan pengalaman pembelajaran imersif maya, pembelajaran imersif teradun dan pembelajaran bersemuka”, kata beliau.
Progam E-4.0 ini diketuai oleh Master Trainer Prof. Dato' Dr Mohamed Amin Embi, Dr. Muhammad Helmi Norman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Dr. Wan Zuhanis Saad dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Hasil daripada program julung kali diadakan ini maka seramai 25 orang pensyarah UTeM ini telah ditauliahkan Sijil Educator 4.0 oleh pihak KPT sekaligus memperhebatkan lanskap pengajaran dan pembelajaran di universiti awam teknikal paling berprestij di negara ini.