DURIAN TUNGGAL 8 Mac – Seramai 3,275 orang graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kali ke 17 pada 14 hingga 17 Mac nanti.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr Ghazali Omar berkata, majlis Konvokesyen UTeM ke 17 ini akan diadakan sebanyak 8 sesi.
Ujarnya, ianya akan menyaksikan seramai 61 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dua graduan menerima Ijazah Doktor Kejuruteraan, 194 graduan (Ijazah Sarjana), 2,525 graduan (Ijazah Sarjana Muda) dan 493 graduan menerima Diploma.
Katanya, konvokesyen kali ke 17 ini melahirkan lebih ramai graduan jika dibandingkan dengan konvokesyen yang lalu seramai 2,979 orang graduan bergraduat.
“Daripada jumlah graduan kali ini mendapati lebih daripada 56 peratus adalah merupakan graduan beraliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi,” katanya lagi sewaktu Sidang Media Pemakluman Majlis Konvokesyen UTeM yang diadakan semalam di pejabat beliau.
Menyentuh mengenai anugerah khas baharu, pada pada kali ini UTeM memperkenalkan Anugerah Khas Huffaz Profesional dan penerimanya merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Dengan Kepujian.
“Terdapat juga Anugerah Profesor Emeritus diberikan kepada Datuk Ismail Hassan sebagai tanda penghargaan beliau telah berjasa kepada UTeM yang dilantik sebagai Naib Canselor pertama UTeM pada tahun 2007 hingga 2008,” katanya lagi.
Di samping itu pada majlis konvokesyen nanti turut akan diberikan penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah secara Aegrotat dan penganugerahan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana secara Anumerta.
Dr Ghazali menyatakan UTeM turut memandang serius aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard pada majlis ini nanti yang mana graduan juga diwajibkan untuk melakukan ujian pantas (RTK) sehari sebelum menghadiri konvokesyen.
“Graduan, ibu bapa atau penjaga yang datang konvokesyen nanti diminta buat ujian RTK, tunjukkan bukti kepada pengawal keselamatan di pintu utama dan baru mereka dibenarkan masuk.
“Kami juga ada perhidmatan kesihatan di dewan konvokesyen, jika ada yang bergejala kita akan asingkan di tempat disediakan bagi memastikan konvokesyen selama empat hari ini berjalan lancar,” katanya.
Hadir sama dalam Sidang Media tersebut adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof Dr Zulkifilie Ibrahim,Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM, Masdzarif Mahat.
Sementara itu, mengupas mengenai Pesta Konvo UTeM, Datuk Dr Sabri berkata, UTeM Virtual Convo Fest (VCF) akan diadakan bermula pada 12 hingga 17 Mac nanti secara maya.
Katanya, UTeM antara yang terawal mengenengahkan konsep VCF ini dengan pengisian pelbagai program hebat dan menarik telah dirancang dan akan dilaksanakan.