Skip to main content
Durian Tunggal, 3 Mac 2022: Mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu selama tiga tahun berkuat kuasa pada 1 Mac 2022 hingga 28 Februari 2025.
 
Menurut kenyataan daripada pihak UTeM, pelantikan Dr Hasim adalah dengan persetujuan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 17(1)(a) Perlembagaan Universiti.
 
Dr Hasim dilahirkan pada 30 Julai 1961, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian (Sains Politik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Diploma Pengurusan Awam (DPA) dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).
 
Dalam bidang akademik, beliau juga turut berjaya bergraduat peringkat pengajian tertinggi iaitu Doktor Falsafah dalam bidang Pengajian Strategik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
 
Mengupas latar belakang kerjaya pula, beliau mula berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada 1 Januari 1989 sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, Negeri Sembilan.
 
Kecemerlangan kerjayanya terus memuncak sehingga memegang jawatan Pengarah di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri pada November 2012.
 
Beliau kemudian dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Ketua Menteri Melaka pada 1 Februari 2019 sebelum bersara secara rasmi pada 29 Julai 2021.
 
Pembabitan beliau juga sangat sinonim dengan UTeM apabila pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UTeM sejak April 2019 sehingga Julai 2021 yang lalu.
 
UTeM mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan dengan kepimpinan, ketokohan, kepakaran serta pengalaman luas yang dimiliki beliau maka diharapkan dapat
menerajui dan memimpin UTeM ke persada gemilang selaku institusi pengajian tinggi teknikal yang terus cemerlang di pentas dunia.
 
Di samping itu pihak UTeM mengucapkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Academician Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali, FASc atas jasa dan sumbangan hebat yang telah diberikan kepada UTeM sebelum ini bermula dari Februari 2016 sehingga Februari 2022.