MELAKA, 24 November: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Persidangan Kejuruteraan dan Teknologi Universiti-Universiti Teknikal Malaysia yang ke-12 (MUCET) 2021.
Persidangan bertaraf antarabangsa ini telah diadakan secara dalam talian berlangsung selama tiga hari dari 16 hingga 18 November ini dianjurkan bersama dengan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pengerusi MUCET 2021 yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM, Prof Dr Zahriladha Zakaria berkata, antara objektif MUCET ini adalah memperkasakan kerjasama penyelidikan dan penerbitan dalam kalangan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Jelasnya, program ini turut menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan dalam kalangan penyelidik-penyelidik MTUN dan rangkaian industri setempat serta antarabangsa yang mana berjaya mengumpul seramai 227 orang penyelidik menyertai persidangan kali ini.
Katanya, MUCET 2021 mengenengahkan 3 individu berkaliber dalam menyampaikan ucaptama iaitu Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Azman Ismail, Co-founder and Ketua Pegawai Eksekutif FAVORIOT Sdn Bhd Dr. Mazlan Abbas dan Prof Madya Ir. Dr. Cheng Tung Chong dari China-UK Low Carbon College, Shanghai Jiao Tong University.
“Menyentuh mengenai impak MUCET 2021 ini, kesemua manuskrip prosiding yang dibentangkan dalam MUCET ini akan dihantar untuk diterbitkan di Clarivate Analytics: Conference Proceeding Citation Index (CPCI).
“Sebahagian manuskrip terpilih bakal diterbitkan di jurnal berindeks Scopus untuk dijadikan rujukan pihak luar lalu dapat meningkatkan keterlihatan UTeM
dan MTUN buat komuniti akademik dan industri peringkat Malaysia serta antarabangsa,” ujarnya lagi.
MUCET 2021 telah rasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar.
Dr Ghazali berkata, penganjuran MUCET pada kali ini ternyata berjaya membuahkan hasil berimpak tinggi dalam arena penyelidikan berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta industri dunia.
“Ini turut menzahirkan bahawa MTUN telah berjaya merealisasikan peranan dan sumbangan yang dihasratkan oleh negara yang mana bukan hanya menyumbang langsung dalam negara malahan merentas sempadan dunia buat kebaikan komuniti global,” katanya lagi.