Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus prihatin dan cakna dengan perkembangan bencana semasa bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat,
 
Selari itu, UTeM telah melancarkan misi bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir di negeri Melaka yang terdiri daripada komuniti setempat dan turut melibatkan warga UTeM pada 17 hingga 21 Mei 2021 lalu.
 
Program ini merupakan anjuran Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) dengan kerjasama Alumni UTeM, Pejabat Pendaftar, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka.
Penolong Naib Canselor, Jaringan Industri dan Masyarakat UTeM, Prof Madya Ir Dr Md Nazri Othman berkata, antara objektif proram ini adalah untuk meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa terbabit yang terdiri daripada komuniti setempat serta turut melibatkan staf dan pelajar UTeM.
 
Jelasnya, sumbangan telah disampaikan kepada hampir 100 keluarga yang terlibat yang mana mereka menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan dan perkakasan pembersihan.
 
“Kebanyakan mangsa yang menerima bantuan ini adalah mereka yang terkesan dengan banjir yang telah melanda di kawasan Durian Tunggal, Sungai Putat, Bukit Katil, Ayer Molek serta beberapa kawasan lain sehingga ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara pada waktu tersebut,” ujarnya dalam kenyataan yang diberikan semalam.
 
Mengulas lanjut beliau menyatakan dana bagi bantuan ini adalah merupakan dana yang telah berjaya dikumpulkan dalam jangka masa singkat daripada warga UTeM dan juga Alumni universiti ini.
 
Ujarnya lagi, program ini juga selaras dengan konsep T.U.N.A.I iaitu Technology @ University Advancing Industry and Society dan menyahut semangat slogan “UTeM adalah Melaka, Melaka adalah UTeM” diharapkan dapat membantu masyarakat setempat dan mangsa banjir terbabit.