Skip to main content
Seramai 196 orang penuntut UTeM yang telah berjaya melepasi saringan kesihatan dihantar pulang ke Zon Utara malam tadi.
 
Penghantaran pulang ke Zon Utara bagi negeri Pulau Pinang, Kedah dan Perlis ini turut disertai 2 orang penuntut dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) sekaligus menjumlahkan seramai 198 orang semuanya.
 
Perjalanan kumpulan ini mula bertolak dari Dewan Canselor, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka sekitar jam 9 malam tadi.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, bagi operasi penghantaran ke utara ini melibatkan 17 buah bas dan sebuah van.
 
Jelas beliau, daripada 17 buah bas tersebut 7 buah bas UTeM manakala selebihnya dibantu oleh rakan universiti awam lain iaitu 3 buah bas dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan baki 7 buah bas lagi adalah dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
 
Katanya, penghantaran pelajar ke negeri Perlis adalah bagi kawasan Kangar manakala bagi negeri Pulau Pinang pula melibatkan kesemua 5 daerah di negeri berkenaan.
 
"Sementara itu penghantaran pelajar ke negeri Kedah pula melibatkan 8 kawasan iaitu Baling, Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Pendang, Padang Terap dan Sik," katanya.
 
Menyentuh aspek pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), Dr Raha berkata ianya telah dilaksanakan dengan jayanya oleh semua pihak terbabit termasuklah proses dinyah cemar oleh Jabatan BOMBA terhadap semua bagasi pelajar, bas dan van yang digunakan.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan BOMBA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi yang terlibat sama dalam menjayakan operasi ini.
 
Penghargaan istimewa juga buat rakan universiti awam seperti USM dan UUM yang menyediakan bas bagi pergerakan malam ini sekaligus menjayakan operasi ke utara.
 
Terdahulu, pihak UTeM telah menyempurnakan 5 operasi penghantaran pulang penunutnya yang mana peringkat pertama bagi Zon Selatan, peringkat kedua ke Zon Tengah 1, peringkat ketiga penghantaran pulang ke Sarawak, peringkat keempat Zon Pantai Timur dan peringkat kelima sebelum ini Zon Tengah 2 iaitu negeri Perak.