Skip to main content
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjalin kerjasama strategik dengan menandatangani 2 memorandum bersama dengan 2 buah institusi pendidikan tinggi dari Indonesia bertempat di kampus induk UTeM, Durian Tunggal, baru-baru ini.
 
Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Yayasan Perguruan Tinggi Islam Batik (YAPERTIB), Surakarta, Indonesia dan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Mulia, Kalimantan Timur, Indonesia.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Raha Abdul Rahim berkata, pemetraian kerjasama strategik ini sekaligus mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara 2 buah negara di rantau ini di samping mengukuhkan strategi dan pengisian konsep pengantarabangsaan bagi ketiga-ketiga pihak.
 
Jelas beliau, MoA ditandatangani bersama YAPERTIB antaranya bertujuan bagi menjalankan kerjasama menerusi perkongsian penyelidikan dan pembangunan, kemudahan dan tenaga kerja termasuklah para penyelidik kedua-dua pihak bagi membangunkan teknologi berasaskan Internet of Things (IoT) bagi membantu pengusaha batik tradisional mencapai kemajuan menerusi perusahaan batik mereka.
 
Ulasnya, kerjasama ini akan dimulakan dengan pelaksanaan analisis faktor ke arah penzahiran usahawan batik yang berjaya, mencadangkan teknologi berasaskan IoT yang terbaru untuk digunapakai oleh pengusaha batik seterusnya menilai keberkesanan prestasi serta teknologi tersebut untuk digunapai oleh para pengusaha batik di sana.
 
Sementara itu, bagi MoU yang ditandatangani bersama Universitas Mulia pula menyaksikan kerjasama strategik menerusi pertukaran kakitangan dan mahasiswa akademik, perkongsian bahan penyelidikan dan hasil penyelidikan kedua-dua pihak di samping kerjasama menerusi bidang pengajaran dan pembelajaran (PnP).
 
Pada majlis tersebut, MoU bersama Universitas Mulia telah ditandatangani oleh Rektor Universitas Mulia, Dr. Agung Sakti Pribadi dan Naib Canselor UTeM manakala MoA bersama YAPERTIB pula ditandatangani oleh Ketua Yayasan YAPERTIB, Ir. Solichul Hadi Ab. Bakri bersama Naib Canselor UTeM.