Skip to main content
13 January 2020
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menyerlah dalam pembangunan produk inovasi yang berdaya maju sekaligus memberi kemudahan kepada komuniti dalam negara dan global.
 
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Wira Raha Abdul Rahim berkata, UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu teknikal terus menyemarakkan budaya penyelidikan dan inovasi.
 
Jelas beliau, rentetan itu ramai kumpulan penyelidik di sini terus menghasilkan produk inovasi baru dari semasa ke semasa.
 
“Terbaru, salah satu produk inovasi yang telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik UTeM adalah “Handroid – Sign Language Translator”.
 
“Ianya berfungsi sebagai alat pemudah komunikasi efektif antara golongan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu dengan manusia normal yang berada di sekeliling mereka,” ujar beliau lagi.
 
Dr Raha berharap alat ini dapat membantu golongan ini kerana ianya dilihat berpotensi besar menzahirkan dunia baru yang menggembirakan golongan ini.
 
Jurutera Pengajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), UTeM merangkap Ketua penyelidik produk inovasi ini, Nurul Kausar Ab Majid menjelaskan bahawa idea ini lahir ekoran isu yang sering dihadapi golongan pekak dan bisu.

Katanya, secara umum golongan pekak dan bisu merupakan terma yang boleh didefinisikan sebagai golongan yang tidak mampu untuk bertutur dan berkomunikasi secara lisan.
 
“Hal ini pastinya menyukarkan rutin kehidupan seharian mereka yang mana mereka tidak mampu untuk berkomunikasi secara efektif dengan masyarakat sekeliling.
 
“Selain daripada memudahkan golongan pekak dan bisu, produk ini juga dihasilkan untuk membantu masyarakat bagi berkomunikasi dengan mereka secara efisien,” ujar beliau.
 
Beliau menjelaskan produk inovasi ini adalah menerusi sepasang sarung tangan. yang mana setiap sarung tangan dilengkapi dengan beberapa sensor yang mempunyai kebolehan untuk mengesan pergerakan tangan golongan pekak dan bisu.
 
Ujarnya, setiap data yang diambil akan diproses dan diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan dan suara yang dipaparkan di telefon bimbit menerusi aplikasi Android yang dibina.
 
Handroid mula dibangunkan bermula daripada awal tahun 2019 yang mana projek ini dihasilkan bersama 4 orang mahasiswa yang diketuai oleh Den Roko Kasdi, Ahmad Nasyir Ahmad Nizam, Muhammad Afiq Abdul Kadir dan Amir Fahmi Ibrahim.
 
Keempat-empat mereka kini adalah mahasiswa tahun 4 program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Automasi Industri dan Robotik) FTKEE, UTeM.
 
Mengulas lanjut beliau berkata, projek ini telah dikemukakan kepada Persatuan Orang Pekak & Bisu Melaka (POPNM) sebagai inisiatif untuk mereka berkomunikasi dengan bernas.
 
Diharapkan inovasi futuristik akan datang dapat menambahkan lagi spesifikasi produk bagi menyelesaikan masalah dan isu yang bakal dihadapi masyarakat.