13 January 2020
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus memperkasa aktiviti pengantarabangsaan dan antara inisiatif lain yang sedang dilaksanakan adalah dengan menganggotai 4 pertubuhan akademik peringkat antarabangsa.
Pertubuhan akademik peringkat atarabangsa tersebut merupakan satu platform yang sangat baik dalam usaha mengukuhkan sektor pendidikan di peringkat serantau melalui kerjasama beberapa buah negara.
Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, empat pertubuhan akademik peringkat antarabangsa yang terlibat adalah ASEAN Europian Academic University Network (ASEA UNINET), ASEAN Technological University Network (ATU-Net), University Mobility in Asia and the Pacific (UMAP) dan Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle University Network (IMT-GT UNINET).
Jelasnya, penglibatan UTeM dalam pertubuhan akademik peringkat antarabangsa merupakan satu mekanisma yang berkesan bagi membolehkan ahli akademik, para penyelidik dan mahasiswa untuk melibatkan diri secara langsung dalam pelbagai projek di peringkat global.
"Di samping itu boleh mempersediakan diri mereka agar sentiasa peka dengan perubahan semasa serta bentuk tindakan wajar yang perlu diambil sebagai usaha dalam menangani isu berkaitan di peringkat serantau mahupun global," jelasnya lagi.
Pertubuhan ASEAN Europian Academic University Network (ASEA UNINET) bakal menumpukan kepada aktiviti penyelidikan dan akademik yang mana terdapat banyak geran penyelidikan yang bakal disediakan setiap tahun untuk institusi yang menyertainya.
ASEAN Technological University Network (ATU-Net) pula lebih menjurus kepada bidang teknologi yang mana ia memberi pengkhususan kepada aktiviti akademik, penyelidikan dan mobility manakala University Mobility in Asia and the Pacific (UMAP) pula bakal mengkhususkan kepada aktiviti mobility pelajar sama ada menerusi inbound atau outbound dan mempunyai kelebihan pembiayaan mobiliti akan turut disediakan kepada yang layak.
Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle University Network (IMT-GT UNINET) pula menumpukan kolaborasi dalam bidang akademik dan penyelidikan dengan memberi tumpuan khusus kepada tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan Melaka Smart City kian rancak dibangunkan di negeri Melaka.