Program Sentuhan Kasih@JPT 2019 bagi Zon Selatan akan diadakan di Politeknik Mersing, Johor pada 19 September 2019 nanti.
Program ini julung kali diadakan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan universiti awam Malaysia di sembilan lokasi di seluruh negara bagi mendekati pelajar terutama dari kumpulan B40.
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi tuan rumah bagi Zon Selatan dan dibantu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Daerah Mersing dan Politeknik Mersing.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Datuk Ts. Dr. Mohd Razali Muhamad berkata, program ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan penerangan secara bersemuka dengan lebih jelas mengenai dasar kemasukan, syarat kemasukan, kaedah permohonan dan proses pengambilan pada pelajar bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf.
Jelasnya, ianya untuk disampaikan kepada masyarakat luar bandar terutamanya anak-anak kumpulan B40 di daerah Mersing dan sekitar yang bakal menduduki peperiksaan atau sedang mencari peluang untuk melanjutkan pelajaran atau yang gagal mendapat tempat permohonan pertama di UPU.
“Program ini juga berperanan berkongsi maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam dan institusi lain bagi sesi akademik 2020/2021.
“Di samping itu, program Sentuhan Kasih ini juga turut mempromosikan program-program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran semasa,” ujar beliau.
Peluang yang dibuka ini turut membabitkan proses pengambilan pelajar bagi program pengajian secara jarak jauh, pembelajaran separa masa serta permintaan melalui kursus pendek.
Mengulas lanjut beliau turut menjelaskan UTeM selaku universiti awam teknikal terus berperanan penting dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan teknologi dan yang terkini bidang Sarjana Muda Teknologi (BTech).
Sentuhan Kasih Zon Selatan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Sentuhan Kasih@JPT 2019 Zon Selatan ini merupakan lokasi yang kelapan selepas program seumpamanya diadakan di Ranau, Sabah dan juga beberapa lokasi lain di Terengganu, Perak, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak.