Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjadi tuan rumah bagi Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Universiti Awam kali ke-15 bagi tahun 2019.
Konvensyen KIK ini telah berlangsung selama 3 hari bermula dari 19 sehingga 21 Ogos 2019 dan melibatkan penyertaan daripada kesemua universiti awam Malaysia.
Prof. Dr. Raha Abdul Rahim sewaktu ucapan sewaktu majlis anugerah dan penutup konvensyen KIK ke 15 tersebut berkata, dengan adanya program sebegini maka pelbagai projek yang sarat dengan kreativiti dan inovasi telah berjaya dipertandingkan di sini.
Jelas beliau, menerusi persembahan projek-projek KIK dari semua kumpulan yang mengambil bahagian dalam konvensyen ini turut memberi aspirasi, ilmu, teknik dan idea-idea baharu yang lebih kreatif dan inovatif untuk kualiti perkhidmatan dan pengurusan yang lebih baik dalam orgasnisasi.
"Pelaksanaan KIK ini juga berjaya mewujudkan budaya kerja yang mantap, berinovasi, kreatif dan berpandangan jauh bagi meningkatkan kualiti kerja dan keberkesanan sistem penyampaian selari dengan aspirasi kepimpinan tertinggi negara.
"Ianya sejajar agar semua penjawat awam di setiap peringkat memiliki kapasiti intelektual serta nilai kreativiti dan inovasi yang tinggi dalam memastikan paradigma perkhidmatan awam terus terpacu ke mercu yang lebih cemerlang lagi," ujar beliau lagi.
Pada konvensyen KIK Universiti Awam 2019 kali ini menyaksikan kumpulan Rising Stars dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menjadi johan bagi kategori pengurusan.
Manakala johan bagi kategori teknikal pula telah menjadi milik kumpulan Beyond Rehab dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan masing-masing membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM6,000.00 berserta trofi dan sijil.
Naib johan bagi kategori pengurusan telah dimenangi oleh kumpulan Padu dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kumpulan Sinaran dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula telah menangi naib johan bagi kategori teknikal dan masing-masing membawa pulang hadian berjumlah RM4,000.00 berserta trofi dan sijil.
Tempat ketiga bagi kategori pengurusan telah berjaya dimenangi oleh Kumpulan CNE dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) manakala bagi kategori teknikal pula disandang oleh Kumpulan Meditech dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang mana masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM2,000.00 berserta trofi dan sijil.
Sementara itu johan keseluruhan bagi konvensyen KIK 2019 yang dihoskan oleh UTeM pada kali ini telah menjadi milik kepada kumpulan Rising Star dari UiTM.
Turut hadir sewaktu majlis penutup dan penyampaian hadiah bagi konvensyen KIK Universiti Awam 2019 adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UniMAS), Prof. Dato’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi dan Pengarah, Pusat Transformasi Insan, USM yang merupakan mantan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan.