Skip to main content

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah dinobatkan sebagai Johan Motivator Ikon Inspirasi Varsiti 2019 (IIV 19) Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Malaya pada bulan lalu.

Mahasiswa UTeM dari program Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Media Interaktif), Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Muhd Zarif Zulkafli telah berjaya mempamerkan kecemerlangan dan mendahului 28 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia.

Menurut Dekan FTMK, Gs Dr. Othman Mohd mengulas mengenai kemenangan tersebut menyatakan bahawa pertandingan tersebut merupakan sebuah pertandingan pengucapan awam berorientasikan motivasi berdurasi di mana pada peringkat saringan, para peserta diminta menyampaikan motivasi selama 7 minit mengikut tajuk pilihan sebelum 14 orang peserta yang terpilih mara ke peringkat separuh akhir.

Jelas beliau, peringkat separuh akhir pula diadili menerusi ujian menguji minda secara bertulis merangkumi soalan daripada pelbagai bidang termasuk pengetahuan am, sejarah, matematik, kemahiran pembuatan keputusan dan lain-lain di mana seramai enam orang peserta iaitu 3 peserta daripada Universiti Malaya, seorang peserta daripada Universiti Teknologi MARA cawangan Rembau dan Muhd Zarif sendiri telah mara ke peringkat akhir.

Peringkat akhir telah menyaksikan pertembungan sengit di mana setiap peserta diuji dengan tayangan video berdurasi 1 minit dan diminta untuk menyampaikan sebuah ceramah motivasi secara spontan dalam lingkungan masa 10 minit berdasarkan video yang diberikan tersebut.

Selain dari Muhd Zarif yang meraih kejuaraan pada pertandingan tersebut, Amir Firdaus Eddy Rosyadie dari Universiti Malaysa telah berjaya meraih tempat kedua dan tempat ketiga dirangkul juga dari wakil Universiti Malaya iaitu Kaveinthran A/L Pulanhtran.

Muhd Zarif telah membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai berjumlah seribu ringgit bersama trofi kemenangan dan sijil penyertaan dari pihak penganjur.