Bahagian Dakwah dan Helwa, Pusat Islam, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menganjurkan Ceramah Transformasi Ramadan: Ihya’ Ramadan Mencari Damai Keberkatan yang berlangsung di Masjid Sayyidina Abu Bakar, UTeM baru-baru ini.
Pengarah Pusat Islam, Dr Muhd Akmal Noor Rajikon berkata, program anjuran setiap tahun ini adalah rutin perkongsian ilmu sebagai persediaan kepada para peserta dalam menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadan ini yang mana ianya membicarakan hukum-hakam serta isu-isu semasa berkaitan puasa.
Jelasnya, program yang dianjurkan ini bukanlah berdasarkan kepada ceramah dan perkongsian semata-mata, malah turut diselitkan dengan kuiz dan sesi soal jawab berkaitan topik yang dibincangkan manakala yang menariknya para pemenang tempat pertama sehingga ketiga telah memperoleh hadiah berupa wang tunai berserta buku-buku ilmuan.
"Menerusi program sebegini, diharapkan agar para pelajar dan kakitangan UTeM juga masyarakat setempat dapat melaksanakan ibadah berpuasa dengan lebih baik terutamanya menerusi input-input penting yang telah dikongsikan.
"Penyampaian dan pengisian adalah selari dengan perkara-perkara yang melibatkan hukum-hakam sebagai panduan komprehensif agar semuanya mampu menyelesaikan kerumitan jika ada dan lancer proses ibadah sepanjang bulan yang mulia ini," ujar beliau.
Ceramah ini telah disampaikan oleh Ustaz Dato’ Abdul Rahim dan diharapkan program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang kerana ianya ternyata telah memberi manfaat buat semua peserta.