Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengumumkan pelantikan semula Profesor Ts Dr Goh Ong Sing sebagai Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat).

Pelantikan semula ini berkuatkuasa pada selama 2 tahun iaitu pada 19 April 2019 sehingga 18 April 2021 yang mana pelantikan beliau yang pertama memegang porffolio ini adalah sejak April 2017.  

Prof Goh akan meneruskan kecemerlangan UTeM dalam mengukuhkan jalinan strategik dan keberkesanan UTeM menerusi jaringan industri multinasional dan tempatan di samping masyarakat.

Sementara itu pada masa yang sama UTeM turut mengumumkan Prof Madya Ts Mohd Rahimi Yusoff sebagai Penolong Naib Canselor (Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) baharu.

Pelantikan beliau berkuatkuasa mulai 19 April 2019 hingga 18 April 2022 menggantikan Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin yang telah tamat tempoh lantikannya.

Mohd Rahimi sebelum ini adalah merupakan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik (FTKEE) dan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) sejak September 2011 sehingga April 2019.

Sebelumnya beliau pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Pejabat Perancangan dan Komunikasi Korporat (PPKK) sejak beliau mula berkhidmat di UTeM pada tahun 2009.

Sebelum ini beliau telah berkhidmat selama 15 tahun dengan Universiti Multimedia (MMU) dan pernah memegang beberapa jawatan penting seperti Ketua Pusat Diploma dan Program Affiliasi dan Pengarah Pusat Pengajian Asas dan Pendidikan Lanjutan (FOSEE).

Seterusnya sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Ketua Pegawai Eksekutif untuk Universiti Multimedia Sdn Bhd (anak syarikat MMU) serta menerajui beberapa projek usahasama antara MMU dan universiti di peringkat antarabangsa seperti di Ghana, Afrika Selatan, Sudan dan Indonesia.

Manakala dari segi pencapaian akademik, Mohd Rahimi memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University of Wales, Swansea, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik dari University of Nottingham, England.

Sementara itu pihak UTeM merakamkan setinggi-setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Penolong Naib Canselor (Pembangunan &  Pengurusan Fasiliti) Prof Dr Mohd Ridzuan Nordin di atas sumbangan dan kecemerlangan dalam tempoh perkhidmatan sebelum ini.