Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus komited menjana penghasilan graduan berkualiti memenuhi permintaan semasa yang bukan hanya menjadi pilihan dalam negara malahan menjadi rebutan organisasi merentas sempadan antarabangsa.

Perkara ini dibuktikan apabila terdapat graduan UTeM yang kini telah terpilih bagi menjalankan tugas sebagai Technical Energy Expert di United Nations Industrial Development Organization (UNIDO) bagi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Alumni UTeM Ahmad Zakuan Ahmad Dahalan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTeM ini merupakan graduan bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) dengan kepujian pada majlis konvokesyen UTeM ke-8 pada tahun 2012.

Terdahulu, beliau telah memulakan kerjaya pertama di sebuah syarikat  Schneider Electric, Foxboro (M) Sdn Bhd selama tiga tahun setengah dan seterusnya beliau mendapat tawaran pula bagi terus mempraktikkan kepakaran dan pengalaman bidang kejuruteraan beliau di Hong Leong Industries selama setahun sebelum berkhidmat di UNIDO.

Ahmad Zakuan berkata,  beliau ditawarkan untuk berkhidmat bersama UNIDO apabila pihak tersebut dapat mengesan tenaga pakar yang dicari adalah selari dengan potensi beliau yang menyerlah sebagai Jurutera Tenaga di Hong Leong Industries di bahagian Termal. 

Katanya, tugasnya kini lebih kepada membantu kerajaan dan industri masa kini untuk penghasilan polisi tenaga yang lebih cekap dan efektif untuk pihak kerajaan di samping memberi konsultasi kepada pihak industri terutamanya dalam bidang Thermal Energy Efficiency.

"Melihat kepada perkembangan mahasiswa masa kini, saya berharap agar mereka bersikap lebih proaktif dan sentiasa memotivasikan diri di samping bijak dalam mencari dan mengambil peluang yang ditawarkan untuk kemajuan diri", ujarnya berkongsi pengalaman bersama pihak universiti sewaktu melawat kembali FKE UTeM baru-baru ini.

Ternyata graduan UTeM terus memberikan impak besar dalam pelbagai sektor dalam dan luar negara seiring dengan apa yang telah diterapkan oleh universiti awam teknikal berprestij ini iaitu kompetensi teras kegemilangan.