Barisan mahasiswa dari Universti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) amat prihatin dan berinisiatif tinggi bagi membantu golongan warga tua yang memerlukan dengan menganjurkan program pertandingan permainan digital, Dota bagi mengumpul dana untuk membantu warga Rumah Seri Kenangan, Cheng.
Program ini telah dianjurkan oleh Kelab Sekratariat Rakan Muda dengan kerjasama Kelab e-Sport UTeM baru-baru ini dengan melangsungkan dua sesi permainan yang mana sesi pertama dijalankan di kolej kediaman UTeM selama empat hari dan telah disertai oleh kira-kira 32 kumpulan yang terdiri daripada mahasiswa UTeM.
Menerusi permainan tersebut 8 kumpulan terbaik pada sesi pertama telah mara ke pusingan kedua bagi merebut takhta kejuaraan yang berlangsung bertempat di C-Titan e-Sport Center, Semabok, Melaka yang mana kumpulan TSK telah meraih tempat pertama dan membawa pulang hadiah utama berjumlah RM 500.00
Menurut Pengarah Program Gift from Gamers, pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Adri Aflah Shahrin Amri berkata, hasil daripada yuran pertandingan yang di kumpul telah ditambah dengan sedikit tajaan tajaan daripada C-Titan e-Sport Center untuk digunakan bagi membeli keperluan tambahan kepada warga Rumah Seri Kenangan.
Jelas beliau, jumlah wang tersebut yang telah berjaya dikumpul dignakan oleh mereka untuk membeli beberapa barangan keperluan yang diperlukan oleh golongan warga rumah berkenaan seperti kipas berdiri, lampin pakai buang serta beberapa barangan lain.
Tambah beliau lagi, program begini telah menjadi medan kepada golongan mahasiswa bagi berkongsi kasih sayang dan saling menghargai warga tua serta berjaya mewujudkan barisan mahasiswa yang prihatin kepada segenap lapisan masayarakat.
Sementara itu Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Misdom Lan pula berkata, program yang dianjurkan oleh para mahasiswa tersebut turut bermatlamat mengeratkan lagi ukhuwah antara semua pihak terutamanya ahli kelab Sekratariat Rakan Muda, Kelab e-Sport UTeM dan juga para mahasiswa yang bertanding dalam pertandingan tersebut.
Katanya, program seperti ini turut membantu mahasiswa dalam menwujudkan jaringan hubungan dan perkongsian pintar antara mahasiswa untuk membina rangkaian antara satu sama lain.
Sesi penyerahan keperluan tambahan ke Rumah Seri Kenangan tersebut telah berlangsung sehari selepas tamat pertandingan akhir yang mana melibatkan kesemua sekretariat pertandingan termasuklah ahli jawatankuasa Kelab Sekratariat Rakan Muda dan Kelab e-Sport UTeM.