Skip to main content

Pejabat Bendahari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mendapat pengiktirafan pematuhan Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA) 2018 daripada Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM).

Pengiktirafan tersebut telah diterima oleh pihak UTeM daripada pihak JANM menerusi sebuah majlis yang berlangsung di salah sebuah hotel di Pulau Pinang baru-baru ini sekaligus  menyerlahkan UTeM sebagai sebuah universiti awam yang berprestij dalam urus tadbir kewangan tahap tinggi.

SAGA merupakan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang dibangunkan atau Commercial Off-The-Shelf (COTS) serta sistem sokongan berkaitan data kewangan yang berintegrasi dengan SAGA tersebut.

Menurut Bendahari UTeM, Khairul Taib berkata, penarafan SAGA ini penting bagi setiap agensi Badan Berkanun Persekutuan seperti UTeM yang tertakluk kepada pengauditan Indeks Akauntabiliti (IA) oleh Jabatan Audit Negara.

Tambah beliau lagi, sistem aplikasi tersebut perlu mematuhi reka bentuk sistem aplikasi perakaunan dan kewangan yang diluluskan oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dan Kriteria Pematuhan SAGA.

Sementara itu Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib melahirkan rasa kesyukuran dan kegembiraan di atas pencapaian ini kerana UTeM merupakan salah satu daripada  agensi yang dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA tersebut menerusi penarafan tanpa syarat bagi semua kriteria iaitu 12 kriteria fungsi dan 8 kriteria teknikal. 

Ujarnya lagi, dengan pencapaian ini juga maka Pejabat Bendahari UTeM telah berjaya mengorak selangkah lagi dalam pencapaian kecemerlangan secara konsisten di samping  menyemarakkan budaya kualiti sistem urus tadbir kewangan yang lebih efisyen dan efektif.