Skip to main content

Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke 14 tahun 2018 ini turut diserikan dengan penganugerahan enam Anugerah Khas Industri kepada enam orang graduan terpilih.

Anugerah Khas Industri ini merupakan salah satu kategori hadiah akademik yang berprestij sekaligus memberikan gambaran keteguhan hubungan strategik berimpak antara UTeM dan rangkaian industri di peringkat global.

Sehubungan itu ianya turut merefleksikan bahawa graduan keluaran UTeM adalah bertepatan dengan kehendak semasa rangkaian industri peringkat dunia.

Tambahan pula ianya turut selari dengan acuan kurikulum pengajian UTeM berlandaskan Revolusi Industri 4.0 serta sebagai peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi negara ini.

Menurut Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, pada tahun ini enam hadiah Anugerah Khas Industri telah disumbangkan oleh pihak industri strategik UTeM.

Jelas beliau, pihak industri tersebut adalah terdiri daripada Infineon Technologies (M) Sdn Bhd, Western digital Malaysia, Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd serta Xinyi Glass.

Menerusi Anugerah Khas Industri ini, pihak industri telah sepakat menyediakan pakej anugerah berupa wang tunai bernilai RM2,500.00, sijil dan sebuah trofi kepada penerimanya.

Antara kriteria pemilihan graduan tersebut mestilah mencapai CGPA 3.33 dan ke atas serta calon pernah terlibat dengan pihak industri seperti menjalankan Latihan Industri atau menjalani Program Latihan Industri Berstruktur (SIP) dengan cemerlang di syarikat berkenaan.

Di samping itu calon turut melaksanakan Projek Sarjana Muda berkaitan dengan projek berimpak di syarikat berkenaan atau pernah mengikuti program pengambilan staf baru seperti Program Aperantis Korporat atau kaedah biasa pengambilan staf di syarikat berkenaan.

Seterusnya pemilihan terakhir graduan turut dibuat oleh pihak industri bersama-sama pengesahan Jawatankuasa Tetap Senat Hadiah Akademik melalui senarai nama pelajar yang akan bergraduat yang telah disenarai pendek oleh pihak fakulti berdasarkan kriteria yang dicadangkan oleh pihak Industri.

Bagi Majlis Konvokesyen UTeM ke 14 enam Anugerah Khas Industri yang telah dianugerahkan kepada enam orang graduan UTeM daripada pelbagai kursus adalah Anugerah Kecemerlangan Infineon dan Anugerah Industri Infineon.

Manakala empat anugerah lagi adalah Anugerah Kecemerlangan Western Digital, Anugerah Industri Samsung SDIEM, Anugerah Kecemerlangan Xinyi dan Anugerah Industri Xinyi.