Skip to main content

Tiga orang atlet taekwondo Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mempamerkan aksi cemerlang dalam Pertandingan Taekwondo Peringkat Antarabangsa Terbuka di Korea Selatan baru-baru ini.

Ianya merupakan jemputan oleh Persatuan Taekwondo Korea : ChungNam Taekwondo Association dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Melaka di bawah program Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Menerusi medan ini barisan atlet taekwondo UTeM telah berpeluang berentap di Seocheon, ChungcheongNam-do, Korea selama lima hari bersama-sama dengan atlet taekwondo dari lima buah negara lain dari seluruh dunia iaitu Indonesia, India, Jepun, Kazhasktan, Turjikistan.

Menurut Pengarah Pusat Sukan UTeM, Dr. Rosli Saadan berkata, tiga atlet UTeM ini merasai pengalaman sebenar menjalani latihan bersama pasukan antarabangsa di samping membiasakan diri dengan latihan intensif sebelum menyertai pelbagai kejohanan besar yang lain.

Tambah beliau lagi, menerusi pertandingan tersebut, para atlet dapat melihat perbezaan pengalaman, mental, fizikal dan kemahiran dalam skala yang luas dan besar di samping menerusi pengalaman ini, ia dapat membantu pasukan membuat keputusan yang betul dan bijak ketika di dalam pertandingan dengan cara memerhatikan setiap langkah yang diambil mereka dalam pelbagai situasi pertandingan.

Dua dari tiga atlet yang mewakili UTeM iaitu Hamdanwahid Rinaldi dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP) dan Nor Aidil Hafiz Abdul Karim dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) telah meraih pingat gangsa menerusi Kategori Welter Weight Sparring dan Kategori Fin Weight Sparring manakala Muhammad Marzuqi Malek dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) sekadar berpuas hati apabila hanya meraih tempat di suku akhir Kategori Light Weigt Sparring.

Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti yang menjalankan tugas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin dalam ulasan beliau berharap peluang serta pendedahan seperti ini dapat lagi diperolehi pada masa akan datang sebagai usaha berterusan bagi membantu atlet-atlet untuk memiliki daya saing yang tinggi untuk terus beraksi hebat di peringkat dunia.

Sementara itu, beliau turut berharap agar pihak penganjur sudi memanjangkan jemputan semula untuk pertandingan ini bagi menambah pengalaman dan ilmu dalam sukan ini kepada para pelapis acara sukan tersebut.