Skip to main content

Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah melaksanakan proses penamaan calon bagi memilih ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM sesi 2018/2019 menerusi Piliharaya Kampus yang akan berlangsung pada 4 Oktober 2018 nanti.

Sebanyak 34 kerusi  akan dipertandingkan bagi sesi 2018/2019 ini meliputi 9 kerusi umum dan 25 kerusi fakulti merangkumi lapan buah fakulti dengan tiga kerusi dipertandingkan bagi setiap fakulti dan satu kerusi pelajar Sarjana UTeM.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP UTeM, Prof. Dr. Mohd Ridzuan Nordin berkata, terdapat enam kerusi dari dua fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal telah telah menang tanpa bertanding kerana hanya terdapat tiga pencalonan bagi setiap fakulti bagi memenuhi kerusi fakulti tersebut.

Tambah beliau lagi pada petang semalam turut menyatakan bahawa kerusi umum pelajar Sarjana juga diumumkan sebagai menang tanpa bertanding apabila kerusi tersebut hanya mempunyai seorang pencalonan sehingga waktu penamaan calon tamat pada jam dua petang.

Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) dijangka akan memberikan saingan sengit di antara mereka apabila diumumkan mempunyai tujuh pencalonan yang mana merupakan pencalonan terbanyak berbanding fakulti lain yang mana majoriti calon hanya sekadar empat dan lima orang sahaja.

Kerusi Umum turut dijangka akan bersaing sengit dengan pencalonan sebanyak 18 orang berbanding 8 kerusi yang dipertandingkan setelah calon umum pelajar sarjana memenangi kerusi tanpa bertanding.

Proses berkempen turut dimulakan sebaik sahaja pengumuman calon tamat semalam dan proses memperjuangkan manifesto mereka dijangka berterusan sehingga 3 Oktober kelak sebelum sesi membuang undi berlangsung pada 4 Oktober nanti.

Pilihan raya Kampus kali ini dijangka akan menyaksikan kira-kira 11,000 orang pelajar dijangka keluar mengundi dan UTeM akan mengguna pakai sistem pengundian atas talian yang digelar sebagai e-Vote yang terbukti berkesan serta menjimatkan kos dan masa.

Proses pemilihan dan pengundian juga adalah sangat penting untuk memperbaharui barisan kepimpinan MPP di universiti bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang disamping proses pemilihan yang dijalankan akan memberi pendedahan yang sangat berguna di kalangan mahasiswa di universiti melalui proses ‘pilihan raya’ yang dijalankan dan seterusnya memilih barisan pemimpin pelajar yang akan menjadi pengantara kepada mahasiswa di universiti dengan pihak pengurusan universiti, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan masyarakat sekelilingnya.

Pihak UTeM turut mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan MPP sesi 2017/2018 di atas segala pencapaian dan sumbangan yang telah diberikan kepada universiti.