Skip to main content

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan universiti awam pertama di negara ini menjadi ahli kepada Computer Emergency Response Team bagi Organisation of Islamic Cooperation atau lebih dikenali sebagai OIC-CERT baru-baru ini.

OIC-CERT merupakan sebuah pertubuhan di bawah OIC yang bertujuan mengumpulkan kepakaran keselamatan siber secara kolaboratif dalam menangani cabaran dunia siber bagi negara Islam di peringkat antarabangsa.

UTeM adalah universiti awam pertama di Malaysia yang telah diperakukan keahlian dalam OIC-CERT lalu membuktikan kepakaran dan bidang keselamatan siber universiti ini seiring dengan kehendak pasaran dunia.

Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, UTeM telah diterima sebagai ahli OIC-CERT bagi kategori General Membership yang membolehkan UTeM menyertai pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan dan forum berkaitan keselamatan siber di peringkat antarabangsa.

Katanya, UTeM memenuhi syarat mendapat keahlian keanggotaan OIC-CERT kerana mempunyai kepakaran luas serta pengalaman dalam keselamatan siber ini secara professional di peringkat dunia.

“Kepakaran ahli dapat dikongsikan melalui aktiviti akademik, penyelidikan, penerbitan, pengalaman dan kemahiran dalam meningkatkan usaha mengawal dan kenal pasti kaedah efektif terhadap serangan siber”, ujar beliau lagi.

Dengan keberadaan UTeM sebagai ahli dalam kumpulan ini maka sudah tentulah  melibatkan tenaga pakar dari universiti ini yang mana salah seorangnya  adalah Profesor Dr. Rabiah Ahmad yang telah dipilih sebagai Ahli Profesional pertubuhan ini bagi menyumbangkan kepakaran beliau.

Sementara itu banyak kelebihan yang diraih oleh pihak UTeM apabila menjadi ahli OIC-CERT ini antaranya adalah pelajar universiti ini boleh mendapat pendedahan kegiatan sebenar dalam mengatasi serangan siber antarabangsa seperti activiti Cyber Drill.

Di samping itu pihak UTeM turut boleh menghadiri persidangan OIC-CERT setiap tahun secara percuma, berpelung  tingkatkan rangkaian kepakaran keselamatan siber secara jaringan kerjasama penyelidikan dan perofesional serta banyak lagi.