Skip to main content

Kekangan masa dan kesibukan tugasan harian tidak menghalang Kumpulan Penyelidikan Computational Intelligence and Technologies (CIT) dengan kerjasama Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka untuk menjalankan program khidmat masyarakat (CSR) bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer baru-baru ini.

Program CSR yang dikenali sebagai CS Unplugged tersebut adalah bertujuan untuk memberi pendedahan tentang teori dan aplikasi Sains Komputer bagi memupuk minat pelajar dalam bidang sains.

Menurut Ketua Penyelidikan CIT, Prof. Madya Dr. Choo Yun Huoy berkata, CSR yang dijalankan bukan sahaja bertujuan memberikan pendedahan awal namun turut memberi ruang dan peluang kepada ahli kumpulan penyelidikan CIT dalam menyuburkan budaya kemasyarakatan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UTeM.

Tambah beliau lagi, menerusi program CSR yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik CIT juga menggambarkan kebersamaan antara UTeM bersama komuniti setempat akan keberadaan UTeM dan memberi impak langsung kepada persekitarannya.

“Respon yang diberikan oleh para pelajar terhadap program tersebut amat positif apabila jelas menunjukkan kesungguhan mereka menyempurnakan aktiviti-aktiviti yang diberikan dan memahami asas konsep sains komputer menerusi soalan-soalan kuiz yang diatur oleh para penyelidik”, ujar beliau lagi.

Selain itu menerusi pengisian CSR ini para penyelidik menggunakan unsur permainan bagi membantu para pelajar memahami konsep nombor binari seperti membuat manik menggunakan dua cawan yang mana pergerakkan cawan plastik hanya berpandukan arahan ataupun algoritma yang diberikan.

Program ini turut mendapat tajaan cenderahati dari pihak Microsoft untuk 3 hadiah utama yang telah dianugerahkan kepada tiga kumpulan pemenang sebagai penghargaan menghargai penyertaan dan usaha mereka sewaktu menjalankan aktiviti.