Skip to main content

techITez
IDEA
Go Save
Go Green

Empat Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya memenangi Anugerah Emas di Konvensyen Team Excellence Wilayah Tengah (RTeX) 2018 baru-baru ini.

RTeX 2018 adalah merupakan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang mana konvensyen ini telah berlangsung selama dua hari bertempat di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Kumpulan KIK dari UTeM ini adalah terdiri daripada Go Green dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Go Save dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), IDEA dari Pejabat Bendahari dan techITez dari Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK).

Ketua Pegawai Operasi (COO) UTeM Masdzarif Mahat melahirkan rasa kegembiraan bagi kejayaan ini yang mana keempat-empat pasukan yang mewakili UTeM telah berjaya meraih Anugerah Emas.

Katanya, dengan kejayaan ini sekaligus melayakkan mereka untuk beraksi di pentas kebangsaan pula nanti yang akan diadakan pada pertengahan bulan November 2018.

“Konvensyen ini telah berjaya menyerlahkan potensi para peserta bagi menonjolkan daya kreativiti dan inovasi masing-masing menerusi persembahan projek inovasi yang dihasilkan dengan menggunakan alat-alat kualiti dan kaedah yang bertepatan lalu dinilai oleh barisan panel penilai profesional”, ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata medan KIK ini membentuk para peserta untuk lebih komited dan bekerjasama  secara berpasukan di samping berkongsi pengalaman dalam usaha menzahirkan  prestasi persembahan terhebat kumpulan masing-masing”, ujar beliau lagi.

Konvensyen RTeX 2018 ini telah disertai oleh 113 buah kumpulan dari pelbagai agensi dari seluruh negara dan Majlis Penyampaian Sijil dan Anugerah Konvensyen ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MPC Dato' Mohd. Razali Hussain.