Dua puluh lima kumpulan dari kalangan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah menyahut cabaran dalam Pertandingan Projek Inovasi Merekabentuk Prototaip Kenderaan FTK 2018 yang dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (JTKM) buat kali pertama bertempat di Kampus Teknologi Ayer Keroh baru-baru ini.
Cabaran pertandingan yang berkonsepkan tugasan Problem Based Learning ini meminta para peserta membangunkan prototaip dalam jangka masa tiga belas minggu menerusi proses merekabentuk data kejuruteraan dan prototaip Kenderaan yang berfungsi menggunakan Perisian CATIA V5 lalu dicetak menggunakan pencetak 3D.
Pertandingan ini telah dirasmikan oleh Dekan FTK UTeM Profesor Madya Mohd Rahimi Yusoff dan beliau berkata, pertandingan ini merupakan pendedahan awal kepada pelajar tentang kaedah dalam membangunkan sesebuah kenderaan sebenar agar apa yang dipraktikkan ini selari dengan keperluaan industri.
Tambah beliau, usaha penganjuran pertandingan sebegini lebih menyuntik kreativiti, inovasi dan menyerlahkan kepakaran para pelajar sekaligus melebarkan peluang untuk menyerlah diperingkat universiti, nasional dan peringkat dunia.
Dalam pertandingan ini prototaip kenderaan yang dikenali sebagai Jenama H muncul juara kerana banyak menerapkan elemen Malaysia dalam rekabentuk dan konsep kejuruteraan yang diterapkan pada kenderaan tersebut.
Ahmad Kamal Farhan Jamaluddin selaku ketua kumpulan Kenderaan Jenama H berkata, idea ciptaan ini hasil pemerhatian terhadap kenderaan sedia ada di samping tambahan elemen Malaysia seperti bendera Malaysia,bunga rasmi negara dan juga keris lagenda.
Kata beliau lagi, pertandingan ini telah mendedahkan mereka akan peluang dan pengetahuan yang pelbagai dari segi kaedah pembuatan kenderaan melalui lawatan industri ke Malaysia Automotive Institute.
Sementara itu Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Dr. Muhammad Ilman Hakimi Chua Abdullah, melalui pertandigan ini para pelajar didedahkan penggunaan perisian CATIA V5 yang bukan hanya sekadar mengenali ikon dan fungsi sahaja malah para pelajar turut mengaplikasi pengetahuan rekabentuk kenderaan sebenar dalam industri.
Mengulas lanjut beliau berkata, pensyarah-pensyarah di jabatan ini turut berkongsi pengalaman mereka kepada pelajar berdasarkan pengalaman industri sebenar yang mereka miliki sewaktu dalam bidang perindustrian sebelum ini dan ianya seiring kehendak Revolusi Industri 4.0.