
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerusi Pusat Perkhidmatan Pengetahuan dan Komunikasi (PPPK), telah berjaya .melaksanakan sistem imbas perakam waktu bekerja menerusi telefon pintar.
Aplikasi pintar yang dinamakan MyUTeM ini telah dibangunkan sebelum ini dan pelaksanaannya pula bermula pada 1 Jun 2018 yang lalu apabila ianya secara rasmi telah diperkenalkan untuk dimuat turun di kedai aplikasi Android untuk kegunaan kakitangan UTeM.
Menurut Ketua Pegawai Maklumat (CIO) UTeM, Mohd Isa Mohd Dom berkata, aplikasi pintar myUTeM merupakan sebagai salah satu kaedah baharu yang diperkenalkan bagi membantu mempermudahkan proses merekod kehadiran staf dengan menggunakan telefon pintar.
Tambah beliau lagi, dalam menuju ke arah dunia tanpa sempadan UTeM yang merupakan sebuah universiti awam teknikal paling berprestij di Malaysia haruslah melakukan anjakan paradigma dalam memastikan UTeM sentiasa seiring dengan kemajuan teknologi semasa dunia.
“Teknologi yang digunapakai ini hanya menerima data kehadiran yang dibuat di dalam kampus UTeM menggunakan jalur lebar UTeM sahaja dan PPPK akan sentiasa menambahbaik sebarang kelemahan dari semasa ke semasa dan warga UTeM turut dilihat menyambut baik kepada perubahan yang dijalankan bagi membantu mereka memudahkan urusan seharian di UTeM”, ujar beliau.
Aplikasi yang dibangunkan menggunakan sistem operasi Android ini boleh dimuat turun dan digunakan oleh kakitangan UTeM dengan cara log masuk menggunakan nombor kakitangan dan kata laluan komputer mereka.
Namun begitu, aplikasi ini masih dalam proses pembangunan bagi pengguna telefon pintar berjenama Apple dan sebaik sahaja ia diterbitkan di dalam kedai aplikasi Apple, pengguna akan dimaklumkan untuk dimuat turun manakala pengguna yang masih belum boleh menggunakan aplikasi ini masih boleh menggunakan kaedah mengimbas kad Unidebit untuk merekod kehadiran mereka.