Skip to main content

Sekreteriat Rakan Muda (SRM) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Melaka telah bersama menjayakan program bersifat kesukarelawan bagi membantu gelandangan dan golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Pengarah Program Nurul Hatikah Azmi berkata, program yang yang bertemakan Feed The Need ini antara lain adalah berobjektif untuk menyalur dan membekalkan bekalan makanan dan barangan keperluan harian keapda golongan sasaran tersebut.

Tambah beliau lagi, program ini juga mampu memupuk rasa kasih sayang sesama masyarakat tanpa mengira taraf kedudukan, agama dan bangsa sekaligus membuatkan para peserta yang disertai seramai 25 orang pelajar UTeM dan dibantu oleh kumpulan NGO seramai 7 orang bersemangat dalam menjayakan program sukarela ini.

“Program ini berjalan pada sebelah malam yang mana para peserta mula berkumpul di Masjid kampung Hulu dan mula bergerak ke beberapa kawasan yang terletak di sekitar kawasan Bandar Hilir bagi menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasaran”, ujar beliau yang merupakan pelajar tahun kedua Fakulti Kejuruteraan Pembuatan UTeM.

Mengulas lanjut beliau berkata, pada lewat malamnya pasukan sukarela ini mula bergerak ke kawasan Perhentian Bas Melaka Sentral pula bagi menyampaikan sumbangan kepada golongan gelandangan di sekitar kawasan ini.

Menurut salah seorang peserta program Nurul Syafiah Zainudin berkata, program ini ternyata mampu menanam sifat prihatin dalam diri mahasiswa dan mahasiswi sekaligus melahirkan rasa kesyukuran bagi nikmat kesenangan yang dinikmati kini berbanding dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Sementara itu Penolong Pendaftar Bahagian Pembangunan Pelajar Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTeM Ahmad Fadzil Mohamad berkata, pihak HEP sememangnya memberi dorongan kepada siswa UTeM melakukan aktiviti-aktiviti yang baik sebegini.

“Ini adalah kerana sebagai pelajar mereka perlu turut menjiwai masyarakat sekitar mereka kerana untuk menjadi pemimpin di masa hadapan para pelajar seharusnya teguh hubungan dan kemasyarakatan di peringkat akar umbi lagi”, jelas beliau lagi.