Skip to main content

Centre for Enterprise and Technopreneurship Development (CREATE), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai Melaka telah menganjurkan Taklimat Permohonan Geran Rangkaian Penyelidikan Awam Swasta (PPRN) baru-baru ini bertempat di RTC Sungai Rambai.

Program yang dihadiri seramai 50 orang usahawan dari sekitar Sungai Rambai dan negeri Melaka ini adalah bertujuan mendedahkan usahawan tentang dana pembangunan teknologi yang disediakan oleh kerajaan.

PPPN adalah inisiatif oleh pihak KPT untuk meningkatkan produktiviti dan pembangunan ekonomi Malaysia melalui pengisian aktiviti inovasi dan pengkomersilan oleh usahawan tempatan.

Timbalan Pengarah CREATE UTeM, Ir Mohammad ‘Afif Kasno, berkata antara lain PPRN menawarkan geran pemadanan kepada golongan usahawan tempatan untuk projek penyelidikan atau inovasi.

Tambah beliau, menerusi bengkel ini mereka didedahkan kaedah untuk mengisi dan mendapatkan pembiayaan menerusi permohonan dengan mengisi borang yang disediakan oleh pihak CREATE UTeM dan dipanjangkan kepada pihak KPT.

Mengulas lanjut beliau berkata, taklimat ini juga bertindak sebagai medan untuk pihak industri berkongsi permasalahan yang dihadapi oleh mereka seterusnya dibantu oleh pihak penyelidik dalam memudah cara urusan mereka.

Usahawan yang mempunyai masalah teknikal akan diberi peluang mendapatkan khidmat daripada penyelidik universiti untuk menyelesaikan masalah teknikal mereka supaya produktiviti syarikat berjaya dipertingkatkan lagi.

Sementara itu salah seorang usahawan perniagaan Bayan Aliff Enterprise, Abdul Malek Ab Latiff berkata, kemudahan pembiayaan geran yang disediakan oleh PPRN adalah sangat bermanfaat untuk mengembangkan perniagaan sate yang diusahakannya sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berharap akan memperolehi kemudahan geran yang disediakan oleh CREATE UTeM dan KPT ini bagi memperluaskan promosi jenama produk sate keluarannya di samping volum pengeluarannya dapat dipertingkatkan seiring dengan permintaan yang akan meningkat dari semasa ke semasa.

Di akhir program, para usahawan yang mengikuti program ini kelihatan lebih bersemangat bagi menyahut seruan ini dalam memperhebatkan lagi perniagaan masing-masing menerusi kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan.